PUTRAJAYA – Meskipun fasa pandemik Covid-19 sudah berlalu dan kebanyakan gaya hidup kita sudah kembali kepada normal, namun kesan kepada pelbagai aspek, termasuk gerakan dakwah masih ada.
Cakna dengan situasi tersebut, Program Konvensyen Antarabangsa Melestari Pembangunan Dan Gerakan Dakwah 2022 telah dianjurkan YADIM di sini yang menghimpunkan pakar pelbagai aspek dakwah termasuk dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Qatar pada 22 September.
Acara yang dihadiri oleh tokoh dakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik ini menerima sambutan sangat menggalakkan yang memenuhi dewan lokasi program. Lebih ramai peserta sebenarnya menyatakan minat untuk menyertai program dua hari ini namun ia terpaksa dihadkan.
Program ini turut disiarkan secara langsung di Facebook YADIM yang juga menarik ribuan tontonan.
Dr Zakir Naik ketika ditemui selepas menyampaikan ucapannya melahirkan rasa teruja dengan penganjuran program ini selain gembira dengan perkembangan dakwah di negara ini.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendakwah masa kini perlu berubah dengan peredaran masa dan mesti menggunakan teknologi dengan sebaiknya.
Tambah beliau, norma baharu sekarang sepatutnya tidak menjadi alasan, sebaliknya mesti digunakan untuk menguasai dunia dakwah masakini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, YADIM juga sedang merancang untuk mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini pada masa akan datang.
Beliau yang membacakan teks mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad berkata, organisasi dakwah sebelum membuat apa-apa program dakwah, perlu terlebih dahulu membuat kajian tentang apakah permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan sasar di bawah.
Tambahnya, berpandukan dapatan tersebut, program dakwah yang hendaklah dilaksanakan perlulah benar benar bersifat solusi dan memenuhi keperluan sebenar kumpulan sasar berkenaan.
“Maka atas sebab ini YADIM menjemput Dr Zakir Naik menyampaikan ucapan dalam program ini, kerana gerakan dakwah yang dilaksanakan beliau berpandukan data, kajian dan statistik sebenar,” jelasnya.
KOMEN