PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus menyokong serta memperjuangkan solidariti tanpa henti buat Palestin.
Dalam catatan di laman Twitternya malam tadi, Anwar berkata, masyarakat antarabangsa berterusan mengambil tindakan berat sebelah terhadap segala bentuk kekejaman dan penindasan kepada rakyat Palestin.
“Rampasan tanah dan harta milik rakyat Palestin dibuat Zionis tanpa henti. Akibat ketidakadilan ini, ratusan nyawa yang tidak bersalah menjadi mangsa korban.
“Malaysia kekal bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin,” tulisnya semalam.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa untuk memainkan peranan dan memenuhi tanggungjawab diamanahkan bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa termasuk di Palestin.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata, susulan itu, PBB perlu segera mengadakan sidang tergempar bagi menuntut semua pihak menghentikan keganasan selain bertindak melindungi nyawa orang awam yang tidak bersalah.
Katanya, Malaysia amat prihatin terhadap kehilangan begitu banyak nyawa akibat pertempuran di sekitar Semenanjung Gaza.
“Pada masa kritikal ini, kehilangan nyawa, penderitaan dan kemusnahan harus dihentikan selain pihak-pihak terlibat perlu menahan diri sepenuhnya.
“Sebab utama mesti diakui di mana rakyat Palestin telah tertakluk kepada pendudukan haram berpanjangan, sekatan dan penderitaan, penodaan Al-Aqsa serta rampasan politik di tangan Israel sebagai penjajah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
KOMEN