Home » Langit Terbuka » Kompleks Pemuliaan Al-Quran Chenor pusat pelupusan Al-Quran terbesar di Pahang

Kompleks Pemuliaan Al-Quran Chenor pusat pelupusan Al-Quran terbesar di Pahang

SYED IBRAHIM menunjukkan Al Quran yang rosak sedia untuk dilupuskan di relau Kompleks Pemuliaan Al-Quran Pahang di Chenor hari ini.

MARAN – Kompleks Pemuliaan Al-Quran Chenor bernilai RM266,000 di tapak asal Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Chenor yang beroperasi awal tahun ini menjadi pusat pelupusan Al-Quran terbesar di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Dewa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, mana-mana Al-Quran yang tidak boleh dibaca, rosak, salah cetak dan lain-lain dilupuskan di Kompleks Pemuliaan Al-Quran Chenor.

Menurutnya, pusat pelupusan al-Quran di Chenor itu bagi melancarkan dan memudahkan proses pelupusan ayat-ayat suci al-Quran mengikut adab Islam.

“Pada masa ini JAIP memiliki dua buah pusat pelupusan al-Quran di daerah Pekan dan Chenor di Maran yang menggunakan teknologi dan kepakaran khas untuk memproses abu al-Quran.

“Kapasiti pelupusan di kompleks ini purata 500 kilogram tetapi boleh mencapai maksimum 700 kilogram mengikut tatacara pemuliaan mashaf Al-Quran. Kompleks serupa di Pekan dengan kapasiti purata 200 kilogram tidak mampu menampung jumlah kerosakan mashaf Al-quran terutama selepas banjir.

“Berikutan dengan itu Kompleks Pemuliaan Al-Quran Chenor berupaya menampung proses pelupusan Al-Quran dan kitab-kitab dengan kapasiti lebih besar lagi,” katanya kepada akhbar selepas merasmikan Kompleks Pemuliaan Al-Quran Negeri Pahang di tapak PAID Chenor hari ini.

Syed Ibrahim turut menggesa pegawai pentadbiran masjid di 700 masjid di Pahang bersama Pejabat Agama Islam Daerah membantu mengumpul mushaf Al-Quran yang rosak dibawa ke sini untuk dilupuskan.

Menurutnya, sejak beroperasi awal tahun ini sebanyak 12 tan telah dibakar menggunakan teknologi moden dan sebahagian telah dilupus di laut dengan kerjasama Angkatan Tentera Laut Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *