Home » Langit Terbuka » Kompleks baharu SMISTA bakal tampung lebih ramai pelajar dan pengurusan sekolah – Na’im

Kompleks baharu SMISTA bakal tampung lebih ramai pelajar dan pengurusan sekolah – Na’im

KUALA LUMPUR: Pembinaan kompleks baharu Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA) akan membolehkan penempatan lebih ramai pelajar dan pengurusan sekolah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata kapasiti sedia ada sekolah tersebut yang ketika ini beroperasi di Masjid Saidina Othman Ibnu Affan, Bandar Tun Razak, Cheras hanya mampu menampung 363 pelajar serta 86 guru dan pengurusan sekolah.

“Pembinaan kompleks baharu SMISTA ini telah direka bentuk secara holistik untuk menempatkan lebih ramai pelajar dan pengurusan sekolah iaitu 576 pelajar dan hingga 130 guru serta pengurusan sekolah.

“Insya-Allah, hasrat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah untuk melahirkan intelektual Islam yang mampu menghafaz al-Quran didasari dengan jati diri yang kukuh sebagai generasi bakal memimpin masa hadapan selaras dengan agenda membangun Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis pecah tanah SMISTA MAIWP di Bukit Jalil di sini, hari ini.

Perasmian majlis itu telah disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, MAIWP dalam satu kenyataan memaklumkan projek tersebut yang telah diluluskan peruntukannya sebanyak RM70 juta di bawah Geran Pembangunan (DE) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan memulakan pembinaan pada suku kedua tahun hadapan dan dijangka siap pada 2028.

Projek tersebut meliputi pembinaan blok pentadbiran dan blok akademik termasuk bilik darjah, makmal, dan bengkel, kantin, blok asrama lelaki dan perempuan, dewan makan berkapasiti 600 orang, surau, kuarters dan dewan sekolah. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *