Home » Langit Terbuka » Kolokium Umara & Ulama Terengganu

Kolokium Umara & Ulama Terengganu

Kolokium itu bertujuan untuk merungkai sebanyak mungkin maklumat dalam aspek persejarahan negeri - Utusan Malaysia

KUALA TERENGGANU – Kolokium Umara & Ulama Terengganu akan di sini pada 22 Oktober depan bagi memperingati 100 tahun pemergian dua tokoh besar negeri iaitu Sultan Zainal Abidin III dan Tok Ku Paloh.

Kolokium bertujuan untuk merungkai sebanyak mungkin maklumat dalam aspek persejarahan negeri mengenai betapa besar peranan dan jasa kedua-duanya yang boleh dijadikan rujukan kepada generasi akan datang.

Sultan Zainal Abidin III merupakan Sultan Terengganu ke-11 yang memerintah tahun 1881–1918, terkenal alim dan sangat akrab dengan para ulama ketika itu, khususnya Syeikhul Ulama, Syed Abdul Rahman Syed Muhammad Al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh.

Muzium Negeri dalam satu kenyataan memberitahu, usaha ke arah melengkapkan pendokumentasian sejarah itu menyorot kepada kedua-dua tokoh ketika mencorakkan sistem pentadbiran dan perundangan, terutama dalam membentuk Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu pada tahun 1911.

Program seumpama ini seterusnya memberi peluang kepada masyarakat untuk lebih mengetahui, memahami serta menilai sumbangan besar umara dan ulama negeri dalam mengembangkan pemikiran Islam di rantau ini.

Menurut kenyataan itu, sejarah perkembangan dan kemajuan negeri tidak mungkin lengkap pendokumentasiannya tanpa mengiktiraf peranan yang dimain oleh kedua tokoh ini.

“Tradisi intelektual Islam yang diasaskan oleh kedua-dua tokoh ini perlu dinyatakan dengan meluas dalam suatu perspektif keilmuan, agar dapat dihayati dan seterusnya diperjuangkan oleh generasi akan datang,” ujar kenyataan itu.

Kolokium sehari yang terbuka kepada umum itu akan berlangsung di Dewan Batu Bersurat Kompleks Muzium Negeri, dan perasmiannya akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman.- Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *