Home » Citra Yadim » Kolaborasi YADIM-TLDM menjayakan Bicara Sakinah

Kolaborasi YADIM-TLDM menjayakan Bicara Sakinah

PUTRAJAYA 14 April – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berkolaborasi menjayakan siri-siri program Bicara Sakinah di pangkalan-pangkalan TLDM seluruh negara melibatkan anggota tentera dan ahli keluarga mereka.
Program berkenaan dikendalikan melalui Majlis Perundingan Wanita Islam Malaysia (MPWIM), iaitu salah sebuah majlis yang ditubuhkan oleh YADIM bagi memfokuskan program-program kekeluargaan dan wanita Islam di negara ini.
Eksekutif Kanan MPWIM, Norhayati Azmi berkata, program Bicara Sakinah dilaksanakan bagi memberikan perspektif yang betul mengenai kekeluargaan Islam yang meliputi banyak perkara termasuk kepimpinan rumah tangga, pengurusan kewangan, komunikasi dan sebagainya.
“Kami melihat adalah penting isu-isu kekeluargaan melibatkan masyarakat Islam di negara ini dapat diselesaikan terutama melibatkan anggota keselamatan kerana ia penting dalam rangka kita membina sebuah masyarakat yang harmoni dan terhindar daripada gejala negatif,’’ katanya.
Beliau berkata, program Bicara Sakinah bersama MPWIM dan TLDM telah bermula sejak tahun lepas dan sehingga kini empat lokasi program telah berjaya dilaksanakan iaitu di Lumut, Tanjung Pengelih, Teluk Sepanggar dan Semporna.
Katanya, biarpun fokus utama program Bicara Sakinah bersama TLDM ini adalah mengenai kekeluargaan namun di setiap lokasi program MPWIM turut mengadakan pelbagai program sampingan yang lain.
“Dalam program Bicara Sakinah banyak isu yang cuba dikupas seperti peranan setiap individu dalam membangunkan model keluarga Islam yang boleh dicontohi.
“Program berkonsepkan ceramah dan forum berbentuk santai ini juga mengetengahkan cadangan penyelesaian berkaitan isu-isu semasa berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat oleh penceramah-penceramah yang sememangnya pakar dalam bidang masing-masing’’ katanya.
Beliau berkata, sememangnya menjadi harapan MPWIM untuk melaksanakan dakwah yang menjurus kepada pengukuhan institusi kekeluargaan, sekaligus menjadi platform melahirkan lebih banyak keluarga mithali.
Dalam program Bicara Sakinah yang diadakan KD Sri Semporna, Pangkalan TLDM Semporna, Semporna, Sabah pada 27 Mac pelbagai pengisian telah diadakan seperti ceramah motivasi keluarga, pengurusan kewangan keluarga, kursus pengurusan jenazah dan forum.
Turut hadir dalam majlis perasmian program berkenaan adalah Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Kepten Mohamad Rodhi Ariffin dan Yang Dipertua YADIM, Dr. Yusri Mohamad.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *