KUALA LUMPUR – Kod pemakaian muslim yang dicadangkan oleh Kementerian Sumber Manusia bukanlah satu bentuk diskriminasi sebaliknya dilihat dapat memperkasa undang-undang anti diskriminasi di negara kerana menyediakan garis panduan berguna buat majikan dan pekerja dalam industri swasta.
Exco Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Nur Farihah Meor Mazli berkata, kod pemakaian yang dicadangkan untuk pekerja Islam adalah wajar dalam menangani isu diskriminasi di tempat kerja.
Jelasnya, hal ini berikutan terdapat polisi larangan berhijab bagi staf perhotelan seperti yang telah dilaporkan Wafiq tahun lalu dan oleh itu peraturan ini akan menetapkan dasar yang lebih baik bagi kedua-dua majikan dan pekerja swasta bagi membenarkan hak wanita Islam untuk berhijab .
“Dengan peningkatan arah aliran Islamophobia di seluruh dunia, seseorang harus mempertimbangkan langkah yang efektif bagi melindungi hak wanita Islam untuk menutup aurat dan pada masa yang sama dapat dilihat kompeten seperti mana rakan sekerja mereka yang bukan Islam.
“Di sini, kerajaan telah mengambil langkah pendekatan yang tepat dalam mempertimbangkan keperluan wanita Islam di Malaysia. Tiada siapa yang harus berasa curiga atau takut dengan kod pemakaian ini kerana kerajaan tidak berniat untuk mewajibkan kod tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut sebagai maklum balas terhadap kenyataan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Kesaksamaan Gender (JAG) yang menyifatkan kod pemakaian tersebut merupakan entuk ‘diskriminasi’ kepada wanita Islam dan memberi amaran bahawa ia boleh meningkatkan “akibat yang tidak diingini” bagi mereka yang mungkin memilih untuk tidak mematuhi garis panduan tersebut.
Sementara itu, tambah Nur Fatihah, terdapat satu kelompongan dalam undang-undang tempatan untuk menghukum pihak swasta sekiranya terdapat diskriminasi terhadap pekerja mereka.
“Namun, industri pekerjaan swasta kini akan tertakluk kepada dasar kerajaan yang lebih standard dan ini membolehkan mereka beralih dari polisi pekerjaan antarabangsa yang tidak sesuai untuk diaplikasikan di negara kita.
“Dengan undang-undang anti diskriminasi semasa yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan, Akta Pekerja 1955 dan Konvensyen Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), kod pemakaian muslim yang dicadangkan kerajaan ini dilihat sempurna sebagai peraturan tambahan kepada majikan swasta agar komitmen wanita Islam terhadap agama mereka terus terpelihara,” katanya.- Utusan Malaysia
KOMEN