KUALA LUMPUR – Kod etika pemakaian patuh syariah yang dicadangkan kerajaan bertujuan melindungi wanita Islam yang bertudung daripada amalan diskriminasi di tempat kerja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada wanita Islam yang bekerja dalam industri penerbangan berhubung kod tatalaku syarikat yang melarang mereka memakai hijab.
“Banyak kes wanita Islam didiskriminasi. Kami mendengar komen-komen daripada pramugari dan pekerja hotel yang sepatutnya tidak memakai pakaian tertentu yang mereka kehendaki, hanya kerana ia bertentangan dengan kod tatalaku syarikat.
“Saya bukan hendak menyebelahi sebelah pihak tetapi sebagai kerajaan, saya juga perlu mendengar dan bersikap adil kepada golongan yang didiskriminasi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Kelmarin, Mujahid mengumumkan bahawa kerajaan akan memastikan kod etika berpakaian untuk pekerja wanita Islam di sektor swasta yang kini dalam fasa akhir, dilaksanakan selewat-lewatnya hujung tahun ini.
https://www.utusan.com.my/berita/nasional/kod-pakaian-patuh-syariah-lindungi-wanita-islam-1.725161#ixzz5NZdvWZsh
KOMEN