KUALA LUMPUR 3 Sept. – Klinik Halal Malaysia anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran tentang kekeliruan konsep halal serta membetulkan persepsi masyarakat terutama dalam kalangan pengguna dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini.
Jakim dalam satu kenyataan berkata, ramai yang menganggap penggunaan konsep halal hanya untuk pengusaha dan pengguna Muslim serta dari segi makanan dan minuman sahaja sedangkan ia lebih menyeluruh.
“Halal bukan dikhususkan kepada pengusaha dan pengguna Muslim ataupun makanan dan minuman sahaja tetapi industri halal sebenarnya merangkumi pelbagai sektor seperti farmaseutikal, kosmetik, logistik, perbankan dan pembungkusan makanan.
“Oleh itu, pendedahan tentang industri halal serta sistem pensijilan halal Malaysia kepada para usahawan diharap dapat menjadi nadi penggerak kepada pengusaha untuk terus mengeluarkan produk dan servis halal pada masa akan datang,” katanya.
Jakim semalam menganjurkan Klinik Halal Malaysia sebagai salah satu program sempena ekspo halal terbesar di negara ini iaitu Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2016 yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) dan Shapers Malaysia Sdn. Bhd.
Halfest 2016 berlangsung selama lima hari bermula 31 Ogos lalu hingga 4 September di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan.
Antara tujuan ekspo tersebut ialah meningkatkan kedudukan ekonomi usahawan-usahawan Halal Malaysia, menyediakan platform promosi dan penjenamaan kepada syarikat dan usahawan dari industri halal tempatan.
Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pengeluar dan pengilang mengenai kepentingan sijil halal dan meningkatkan pengetahuan pasaran semasa dan corak minda pengguna selain menerapkan budaya halal dalam kalangan rakyat Malaysia.
KOMEN