Home » Langit Terbuka » KKM tak benarkan restoran, kafe khas untuk perokok

KKM tak benarkan restoran, kafe khas untuk perokok

Kementerian Kesihatan menjelaskan, pihaknya melaksanakan larangan merokok bukan setakat untuk melindungi golongan yang tidak merokok, tetapi juga mahu mengubah sikap perokok agar kurangkan merokok. - Foto Tirto

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata pemilik premis makanan tidak dibenarkan membuka restoran atau kafe khusus untuk perokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata ia bertujuan bagi mengubah sikap perokok agar kurangkan merokok.

“Kita buat larangan merokok bukan setakat melindungi untuk yang tidak merokok, tetapi kita juga mahu mengubah suai sikap perokok agar kurangkan merokok. Kalau boleh jangan merokok di kalangan orang ramai.

“Jadi kalau kita bagi ruang khas untuk restoran untuk perokok, itu tidak selaras dengan matlamat tersebut dan kita juga rasa budaya Malaysia yang pergi restoran mestilah untuk minum, makan atau sembang, bukannya pergi restoran hanya untuk merokok,” katanya kepada FMT.
Lee berkata sekiranya perokok mahu menghisap rokok, mestilah 10 kaki daripada restoran atau kafe tersebut.

Sebelum ini, ada cadangan di laman sosial yang menyuarakan jika diwujudkan restoran atau kafe khas untuk perokok.

Bermula 1 Januari lalu, peraturan larangan merokok terpakai ke atas semua tempat makan, termasuk restoran terbuka.

Larangan tersebut meliputi semua restoran sama ada berhawa dingin mahupun tidak berhawa dingin, di kedai kopi, pusat penjaja terbuka dan gerai-gerai jalanan.

Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan ini akan dikenakan denda sebanyak RM10,000 manakala restoran yang didapati tidak menguatkuasakan larangan itu akan dikenakan denda RM2,500.

Kerajaan juga berkata, larangan itu mungkin akan diperluaskan untuk turut merangkumi kedai dobi dan hotel.

KKM mengarahkan lebih 5,000 pegawainya di seluruh negara bagi menguatkuasakan larangan itu, tetapi memberi tempoh “pendidikan” selama 6 bulan sebelum pesalah dikenakan denda.

Pemilik restoran yang membenarkan pelanggan mereka merokok akan turut dihukum di bawah peraturan baru itu. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *