Home » Persuasif » Kisah penghargaan kepada teman paling mulia sepanjang zaman

Kisah penghargaan kepada teman paling mulia sepanjang zaman

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Di dalam peradaban Islam, buku mempunyai nilai moral yang amat tinggi, khususnya dalam  kalangan ulama dan cerdik pandai. Mereka amat mencintai dan memuliakan buku. Kerap kali ketika mereka berbicara tentang buku, mereka seolah-olah berbicara tentang seorang teman yang amat setia dan jujur, seorang kekasih yang sudah lama tidak bertemu, atau seorang pemimpin yang membimbingnya kepada jalan kebenaran dan tujuan yang suci.

Prof Ahmad Shalaby dalam karya klasiknya, History of Muslim Education, yang membuat kajian tentang sejarah perkembangan awal pendidikan Islam, telah menulis satu bab khusus tentang hubungan perpustakaan dan buku-buku. Dalam bab itu, Shalaby telah menceritakan kisah penghargaan ulama-ulama silam terhadap buku, misalnya, Al-Jahiz (sasterawan dan ulama tersohor ) pernah berkata: “Buku itu diam bila engkau menghendaki dia (buku) diam. Dia tidak akan mengganggu kalau engkau sedang bekerja, tetapi bila engkau merasa kesepian, dia akan menjadi temanmu yang baik. Engkau tidak perlu marah terhadapnya dan juga tidak akan berkecil hati. Dia adalah teman yang tidak menipu atau bermuka dua.”

Dikisahkan juga oleh Al-Jahiz bahawa: “Saya pernah berkunjung kepada Muhammad Ibnu Ishak, seorang pembesar yang menguasai kota Baghdad pada masa itu, dan beliau sedang duduk di ruangan pejabatnya dikelilingi oleh orang-orang (buku-buku) yang seakan-akan di atas kepalanya itu ada burung; kemudian saya pernah pula berkunjung kepada beliau selang beberapa waktu dan saya dapati beliau sedang menyendiri, duduk di ruangan perpustakaannya dan di sekelilingnya terdapat ribuan buku sehingga tidak terlihat wajahnya.”

Sering juga kita bertemu dalam sejarah Islam, kisah para pembesar yang mengambil alih kekuasaan dari khalifah-khalifah. Para pembesar semacam ini tidak suka kalau khalifah-khalifah itu dapat membaca buku-buku yang bernilai, kerana buku semacam itu dapat mencerdaskan fikiran, meninggikan budi pekerti dan membangkitkan semangat kepahlawanan. Diceritakan bahawa khalifah al-Muktafi pernah meminta kepada wazirnya agar dicarikan buku-buku untuk memenuhi masa lapangnya.

Wazir itu kemudiannya memerintahkan kepada para gabenor untuk mencari buku-buku itu. Maka dikumpulkanlah buku-buku sejarah, yang memuatkan kisah-kisah zaman dahulu tentang kepahlawanan raja-raja. Tatkala buku-buku itu disampaikan kepada wazir, lalu dimarahi gabenor itu sambil berkata: “Buku-buku ini akan membuka matanya. Carilah buku-buku yang berisi hikayat-hikayat jenaka atau syair-syair agar dia tetap lengah dan alpa.”

Di dalam kitab Kaifa Taqrau’ Kitaban, yang ditulis oleh Muhammad Shalihal-Munjid, meriwayatkan kisah seorang ulama bernama Ibnu Mubarak yang dikunjungi oleh sekumpulan orang sambil bertanya: “Jika kamu selesai mengerjakan solat bersama kami, mengapa kamu tidak duduk-duduk bersama kami?”Ibnu Mubarak menjawab: ‘Saya pulang, lalu duduk bersama para tabi’in dan sahabat (merujuk buku ibarat sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW).’ Kami katakan: ‘Di mana ada tabi’in dan sahabat?’. Dia menjawab: ‘Saya pulang, lalu menelaah buku-buku dan mengetahui ilmu mereka serta amalan mereka. Apa yang saya perolehi jika saya duduk bersama anda semua? Anda hanya duduk sambil membicarakan hal orang.” Nasihat sinis Ibnu Mubarak sesungguhnya amat berguna kepada kita yang banyak menghabiskan masa bercerita tentang hal orang lain yang tidak mencerdaskan kita.

Ada juga cerita yang mengisahkan para ulama yang percaya buku boleh menyembuhkan penyakit pening kepala dan demam. Mereka akan meletakkan buku di atas kepala, sekira sakitnya telah sembuh, mereka akan langsung terus membaca buku tersebut. Kaedah ini secara psikologi moden telah diakui yang dikenali sebagai ‘Biblioterapi’. Ada juga seorang ulama bernama Khathib al-Baghdadi yang mempunyai tabiat berjalan sambil membaca buku dan sekiranya beliau memberi ceramah di sesuatu majlis, terpaksa disediakan ruang yang agak luas untuk menempatkan buku-bukunya.

Ibnu Al-Jauzi pula sangat gigih menelaah dan mengumpul buku dan pernah berkata: “Saya ceritakan tentang keadaan saya sendiri bahawa saya tidak pernah kenyang dalam menelaah buku. Jika saya melihat buku yang belum pernah saya lihat sebelumnya, seakan-akan saya menemukan emas. Seandainya saya katakan bahawa saya telah membaca dua puluh ribu jilid buku atau lebih, saya tidak akan berhenti mencarinya.”

Untuk mendapatkan buku, para ulama rela mengeluarkan sejumlah wang bahkan ada yang membelanjakan seluruh hartanya untuk tujuan itu. Ada sebahagian isteri mereka yang mencela ‘keghairahan’ ini kerana banyaknya wang yang dihabiskan untuk membeli buku, seorang ulama bernama Fairuz Abadi pernah bersyair:

Seorang wanita pernah berkata,

Bahawa engkau telah membelanjakan banyak harta untuk membeli buku,

Aku katakan biarkan aku,

Semoga aku melihat di dalamnya,

Buku yang menunjukkanku,

Untuk melihat bukuku aman di sisi kananku.

Fairuz Abadi juga pernah membeli beberapa buah buku dengan harga lima puluh ribu berat emas dan beliau tidak pergi kemana-mana kecuali membawa buku-buku itu yang selalu dibacanya ketika berhenti dari perjalanannya. Sebahagian ulama ada yang membawa dua dompet duit sesuai dengan buku. Misalnya, Abu Daud, yang mempunyai sebuah dompet besar dan dompet kecil. Ditanyakan kepadanya tentang masalah itu, maka dia menjawab: “Dompet yang besar untuk buku dan yang kecil untuk perbelanjaan runcit harian saya.”

Muhyiddin Ibnu Arabi, seorang ahli sufi klasik tersohor pernah menceritakan penghargaan seorang ulama tentang buku: “Belum pernah kulihat kebun buah-buahan yang dapat diletakkan di lengan baju, atau taman bunga yang dapat dibawa dalam pangkuan. Dia dapat mengisahkan orang yang telah meninggal, dan berbicara tentang orang yang masih hidup. Di manakah akan tuan peroleh seorang teman yang belum tidur hanyalah di kala tuan telah tidur. Yang disebutnya hanyalah yang tuan sukai. Dia lebih pandai menyimpan rahsia tuan daripada tuan sendiri. Dia adalah teman yang paling jujur, guru yang paling ramah, dan kawan yang paling jauh dari jemu dan bosan.”

Buku memang tidak mengenal perbezaan waktu, tempat dan batas geografi, sehingga membacanya dapat hidup di setiap zaman, keadaan dan hampir setiap “penjuru dunia”. Lebih dari itu, buku memadukan antara hikmah yang baik, akal yang matang, melembutkan hati, memperluaskan wawasan, memberi manfaat dan tidak memintanya kembali. Bak kata pujangga Arab, Al-Mutanabbi: “Teman yang paling mulia sepanjang zaman adalah buku.” – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *