Home » Wacana » Kisah ahli ibadah masuk neraka, si pendosa masuk syurga

Kisah ahli ibadah masuk neraka, si pendosa masuk syurga

Alkisah, ada dua orang lelaki dari kalangan Bani Israel. Karakter kedua-duanya ibarat langit dengan bumi. Yang satu sering berbuat dosa, sementara seorang lagi sangat tekun beribadah. Setiap kali lelaki ahli ibadah melihat lelaki pendosa ini melakukan dosa, dia akan menasihati kawannya itu supaya menghentikan perbuatan buruknya.

“Berhentilah dari berbuat dosa,” kata lelaki ahli ibadah itu kepada temannya.

Tetapi setiap kali itu juga temannya, si pendosa itu menjawab: “Jangan pedulikan aku. Terserah kepada Allah SWT untuk menilai segala perbuatanku. Adakah kau diutuskan-Nya untuk mengawasi apa yang aku lakukan?”

Lalu lelaki ahli ibadah itu berkata: “Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni-Nya dan kamu tidak mungkin dimasukkan ke dalam syurga Allah.”

Ditakdirkan, dengan kuasa-Nya, kedua-dua orang sahabat ini dicabut nyawanya. Kemudian dikumpulnya kedua-dua sahabat itu di hadapan Rabbul ‘Alamin.

Allah SWT berfirman kepada lelaki ahli ibadah tersebut: “Apakah kamu lebih mengetahui daripada Aku? Ataupun kamu dapat mengubah apa yang telah berada di dalam kekuasaan-Ku?”

Kepada lelaki pendosa Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku. Sementara kepada lelaki ahli ibadah Allah berfirman (kepada para malaikat): “Masukkan orang ini ke neraka.”

“Sesungguhnya Rabb-mu, Dia-lah yang lebih mengetahui, tentang orang yang tersesat dari jalan-Nya, dan Dia lebih mengetahui, tentang orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-An’am:117).

Marilah kita petik hikmah dalam kisah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ini, RA sebagaimana disampaikan oleh Muhammad bin Hamid Abdul Wahab dalam kitabnya Sittuna Qishshah, Rawaha An-Nabi Wash-Shahabah Al-Kiram ini.

Janganlah mendahului-Nya kerana ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada kita hanya sekelumit sedangkan Allah SWT Maha Kuasa. Firman-Nya dalam Surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang sewenang-wenangnya menilai seseorang itu kerana semua itu adalah rahsia Allah SWT.

Amin.

-majalah Dakwah

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *