Home » Langit Terbuka » Khutbah Aidilfitri dalam bahasa Temiar di masjid Gua Musang

Khutbah Aidilfitri dalam bahasa Temiar di masjid Gua Musang

Khutbah Aidilfitri bakal disampaikan dalam bahasa Temiar di Masjid Al Hidayah, Pos Hendrop untuk memudahkan jemaah. - Foto Bernama

GUA MUSANG – Lebih 500 masyarakat Orang Asli yang beragama Islam akan mengikuti khutbah dalam bahasa suku kaum Temiar di Masjid Al-Hidayah, Pos Hendrop pada solat sunat Aidilfitri nanti.

Khutbah dalam bahasa Temiar itu akan dibaca sendiri Imam Arif Rami supaya dapat difahami dan ahli jemaah mendalami lagi agama itu khususnya dalam kehidupan harian mereka.

Beliau dilantik imam masjid itu oleh Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) lebih 10 tahun lalu untuk mengimamkan setiap solat 5 waktu dan mengajar mengaji Al-Quran serta Fardhu Ain untuk melengkap diri mereka dengan ilmu agama.

Malah, katanya, masjid di perkampungan Orang Asli membabitkan imam dilantik kalangan Orang Asli menarik tumpuan kaum itu sama ada menunaikan solat 5 waktu, solat Jumaat dan tidak kurang juga solat sunat Aidilfitri.

“Syukur Alhamdulillah, kaum Orang Asli di Pos Hendrop ini sentiasa sentiasa memenuhi masjid untuk mengerjakan ibadat termasuk juga solat sunat Terawih,” katanya ketika ditemui.

Arif berkata, khutbah dalam bahasa suku kaum Temiar itu juga pada setiap solat Jumaat kerana sekiranya dibaca dalam bahasa Melayu ramai dalam kalangan mereka tidak memahaminya.

“Masjid kita ini juga dilantik bilal dari kaum Orang Asli dan masuk waktu sahaja dia datang lebih awal untuk melaungkan azan,” katanya.

Katanya, mereka yang datang ke masjid untuk menunaikan solat Tarawih juga ramai dan begitu juga solat Subuh.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli beragama Islam, Lian Buyong, 42, berkata, lebih selesa berada dalam agama Islam berbanding hidup dengan tidak beragama sebelum ini.

“Saya memeluk agama Islam ketika usia 20 tahun lagi dan lebih selesa mendalami agama itu dengan imam yang dilantik dari kaum Orang Asli juga di masjid berkenaan,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *