Home » Langit Terbuka » Khazanah catat untung operasi tertinggi dalam sejarah RM7.36 bilion

Khazanah catat untung operasi tertinggi dalam sejarah RM7.36 bilion

Pengarah Urusan Khazanah berkata, keuntungan operasi tertinggi dalam sejarah itu disumbangkan oleh hasil pelupusan yang lebih tinggi dan rosot nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap - Foto NSTP

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi untuk tahun kewangan 2019 sebanyak RM7.36 bilion, tertinggi dalam sejarahnya, berbanding kerugian operasi RM6.27 bilion pada tahun 2018.

Hasil daripada pelupusan meningkat kepada RM9.9 bilion berbanding RM1.4 bilion manakala rosot nilai berada pada RM4.9 bilion berbanding RM7.3 bilion pada tahun sebelumnya.

Dana pelaburan strategik kerajaan itu juga mengumumkan dividen sebanyak RM1 bilion untuk tahun 2019.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata keuntungan operasi tertinggi dalam sejarahnya itu disumbangkan oleh hasil pelupusan yang lebih tinggi dan rosot nilai lebih rendah serta pulangan portfolio lebih mantap.

Katanya, Khazanah telah mencapai kemajuan ketara dalam pelbagai bidang, termasuk menjana pulangan sejajar dengan sasaran jangka panjang bagi Dana Komersil seliaannya, menyumbang pulangan kewangan dan strategik bagi aset dalam Dana Strategik seliaannya, serta mengukuhkan kedudukan kewangannya menerusi pengurangan perbelanjaan operasi (OPEX) dan pembayaran balik hutang.

“Prestasi kami pada tahun 2019 dicapai dalam keadaan persekitaran global yang tidak pasti yang menyaksikan proses Brexit yang berpanjangan serta perang perdagangan AS-China yang kian sengit.

“Hal ini menjadi lebih mencabar akibat persekitaran pulangan rendah yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan. Walaupun berhadapan cabaran ini, kami berjaya mencatatkan kemajuan yang ketara dalam memenuhi mandat kami untuk membangunkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada 2 Mac.

Sayap pelaburan kerajaan itu yang dijadualkan mengadakan sidang media untuk mengumumkan prestasi kewangannya bagi tahun 2019 terpaksa ditangguhkan selepas salah seorang pengurusan kanannya disahkan dijangkiti COVID-19.

Khazanah turut mengukuhkan kedudukan kewangannya hasil daripada perbelanjaan yang dikurangkan sebanyak 28.2 peratus kepada RM484 juta berbanding RM674 juta pada tahun 2018. Ini adalah bersamaan dengan 35 mata asas (bps) sebagai peratusan aset berbanding dengan 50 bps pada tahun sebelumnya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *