BANGI – Sejak beberapa hari lalu, bilangan pelajar Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya yang didapati positif Covid-19 semakin bertambah.
Ekoran keadaan yang semakin membimbangkan ini, para pelajar kontak rapat di sekolah berkenaan ditempatkan di beberapa institusi untuk dikuarantin seperti di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Institut Aminudin Baki (IAB) dan Institut Kemahiran Malaysia (IKM), Nilai.
Prihatin dengan situasi berkenaan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) pada 3 Disember menyumbang 450 set KFC untuk para pelajar yang dikuarantin di ILIM serta petugas barisan hadapan di sana.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat Senator Haji Idris bin Haji Ahmad yang turun padang menyantuni para pelajar berkenaan mengucapkan terima kasih kepada agensi di bawah beliau seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan YADIM yang bertindak pantas dan prihatin dengan nasib para pelajar berkenaan.
“Terima kasih agensi agensi yang pantas ambil tindakan dan ambil tanggungjawabmenyediakan prasarana pusat kuarantin sementara ini.
“Terima kasih juga YADIM yang menyelaras bantuan hari ini untuk diserahkan kepada mereka yang terlibat. Semoga dengan pendekatan yang diambil ini, dapat mengurangkan kadar kebimbangan ibu bapa,” ujar beliau ketika di ILIM.
Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Hajah Hakimah Mohd Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, Pengarah Kanan ILIM, Dr Nordin Ahmad dan
Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim.
Pegawai Kesihatan Daerah Sepang, Dr Mohd Nasir Habib yang menyampaikan taklimat operasi di ILIM berkata, pendekatan diambil bagi memisahkan pusat kuarantin kepada beberapa lokasi berbeza adalah untuk mengurangkan kesesakan serta keadaan yang tidak sesuai bagi proses kuarantin berlangsung di asrama.
Seramai 403 pelajar Sekolah Seri Puteri yang disyaki sebagai kontak rapat, dikuarantin selama 10 hari di ILIM dengan seliaan agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah dan lain lain.
KOMEN