SETIAP hari dalam Islam mempunyai kelebihan masing-masing. Allah SWT telah menjadikan hari Jumaat sebagai Keutamaan solat Jumaat atau penghulu segala hari.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu ialah Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat satu waktu di mana tidaklah seorang Mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (Hadis riwayat Muslim).
Terdapat banyak kebaikan dan kelebihan pada hari ini termasuklah solat Jumaat.
Al-Hafidz Ibnu Katsir berkata: “Hari ini dinamakan Jumaat kerana diambil daripada kata al-jamu yang ertinya berhimpun. Umat Islam berkumpul pada hari itu setiap minggu di masjid-masjid. Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang Mukmin berkumpul untuk menunaikan ibadah kepada-Nya.”
Allah berfirman dalam Surah al-Jumaah ayat sembilan:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu. Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”
Sesungguhnya, pelaksanaan solat Jumaat dianggap tidak sempurna kecuali ia mempunyai 40 orang makmum lelaki yang sudah baligh, berstatus merdeka dan penduduk setempat iaitu bukan penduduk bermusim atau musafir.
Sebaiknya, tempat pelaksanaan solat Jumaat itu dilaksanakan di satu masjid sahaja bagi setiap mukim kecuali di bandar yang besar dan satu masjid tidak cukup untuk menampung semua jemaah, maka dibolehkan solat Jumaat dilakukan di dua atau tiga masjid berbeza.
Dua khutbah di dalam solat Jumaat hukumnya wajib. Demikian pula dengan berdirinya khatib selama berkhutbah serta duduknya di antara kedua-dua khutbah, hukumnya juga wajib.
Perkara sunat
Setelah imam atau khatib duduk di atas mimbar, maka semua solat sunat tidak dibolehkan melainkan solat sunat tahiyyatul masjid. Sama juga halnya, apabila khutbah bermula, jemaah tidak boleh berbual dan menumpukan kepada khutbah yang diucapkan khatib.
Umat Islam juga digalakkan untuk melakukan beberapa perkara sunat sebelum mengerjakan solat Jumaat. Antaranya ialah memakai pakaian berwarna putih, berwangi-wangian, mandi sebelum ke masjid dan datang awal.
Nabi Muhammad pernah bersabda: “Sesiapa berangkat (menuju masjid pada hari Jumaat) pada kesempatan yang pertama, seakan-akan ia telah berkorban seekor unta. Sesiapa berangkat pada kesempatan yang kedua, seakan-akan ia telah berkorban seekor lembu. Sesiapa berangkat pada kesempatan yang ketiga, seakan-akan ia telah berkorban seekor kibas bertanduk. Sesiapa berangkat pada kesempatan yang keempat, seakan-akan ia telah berkorban seekor ayam betina. Dan sesiapa berangkat pada kesempatan yang kelima, seakan-akan ia telah berkorban sebiji telur. Apabila si imam (khatib) sudah naik ke atas mimbar, maka catatan-catatan amal dilipat, pena-pena disematkan dan para malaikat berkumpul di dekat mimbar untuk ikut mendengar khutbah. Jadi, sesiapa yang datang sesudah itu, sesungguhnya ia datang untuk solat tanpa mendapat keutamaan sedikit pun.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim serta Ashhab as-Sunan).
Dalam tata tertib pelaksanaan solat Jumaat, terdapat larangan agar tidak melangkahi bahu para jemaah yang telah duduk terlebih dahulu. Jemaah yang datang kemudian juga tidak sepatutnya melintas di hadapan mereka yang sedang melaksanakan solat sunat.
Selain itu, jangan mengisi saf bahagian belakang terlebih dahulu sehingga tidak memberi kesempatan kepada jemaah lain yang datang kemudian untuk mengisi saf di hadapannya.
Usai solat, banyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi Muhammad. – KOSMO
KOMEN