KAHERAH: Pemimpin Hamas Ismail Haniyeh terbunuh di Tehran, Iran, kata kumpulan pejuang Palestin Hamas dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam satu kenyataan, kumpulan pejuang Islam itu berkabung atas kematian Haniyeh, yang dikatakan terbunuh dalam ‘serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Tehran’.
“Saudara, pemimpin, mujahid Ismail Haniyeh, ketua pergerakan kita, syahid dalam serangan Zionis di ibu pejabatnya di Tehran selepas beliau menyertai pelantikan presiden baharu (Iran),” katanya.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas pembunuhan itu tetapi ia disyaki dilakukan tentera Israel, yang berikrar untuk membunuh Haniyeh dan pemimpin Hamas yang lain berhubung serangan kumpulan itu pada 7 Oktober lalu.
Kenyataan Iran tidak memberikan butiran tentang bagaimana Haniyeh dibunuh.
Televisyen negara Iran melaporkan kematiannya pada awal Rabu, dan penganalisis sudah mula menyalahkan Israel atas serangan itu.
Israel sendiri tidak segera mengulas, seperti mana yang biasa mereka lakukan sekiranya membabitkan pembunuhan yang dilakukan oleh agensi perisikan Mossad mereka. – Agensi
KOMEN