KANGAR – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan seluruh umat Islam agar mengenepikan perbezaan sebaliknya meraikan persamaan dalam ajaran Islam.
Titah baginda, apabila berlaku sesuatu perbezaan maka ingatlah bahawa persamaan sesama umat Islam lebih banyak iaitu Allah yang satu, rasul, kitab, imam, nasab dan sebagainya.
“Oleh itu, kesatuan dan persaudaraan haruslah diupayakan dan diusahakan serta berdoalah agar silaturahim dan persaudaraan ini akan sentiasa terpelihara.
“Sesungguhnya, Islam adalah agama yang sempurna, lengkap dan komprehensif. Agama Islam mengisi segala aspek kehidupan sehingga tidak ada pemisahan di antara kehidupan dunia mahupun akhirat kerana kedua-duanya saling berhubungan erat.
“Dunia adalah ‘ladang’ amal untuk akhirat dan memegang teguh agama adalah jalan kemuliaan dan kebahagiaan kita,” titah baginda ketika merasmikan Penutupan Seminar Ummatan Wahidah dan Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ke Wilayah Andaman, Thailand 2019 di Masjid Uthman Affan Darul Jannah, Satun, Thailand, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Yang Dipertua Majlis-Majlis Agama Islam (MAI) dari enam Wilayah Andaman Thailand.
Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, ‘Ummatan Wahidah’ yang membawa maksud umat yang satu merupakan lambang kesatuan di antara umat Islam meskipun ada yang mempunyai latar belekang dan adat resam berbeza.- Utusan Malaysia
KOMEN