Home » Langit Terbuka » Kesucian Islam tidak akan sesekali digadaikan – PM

Kesucian Islam tidak akan sesekali digadaikan – PM

PUTRAJAYA 22 Dis. Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau selaku Perdana Menteri tidak akan sekali-kali menggadaikan kesucian Islam dalam kewajipan mempertahankan Baitulmuqaddis.

Menurut beliau, meskipun Presiden Amerika Syarikat (AS) merupakan kenalan baiknya namun prinsip pertama maqasid syariah iaitu menjaga agama Islam adalah jauh lebih penting.

“Kita ada maruah kita, kita tidak meminta pinjaman AS. Dalam hal ini, mereka yang minta tolong dengan kita beli kapal terbang dan melabur di negara mereka.

“Kita ada maruah kita, sedikit sebanyak kita ada kekuatan kita. Apatah lagi kalau umat Islam di negara ini bersatu padu,” katanya ketika berucap pada Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Masjid Putra di sini hari ini.

Dalam himpunan yang turut disertai oelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Najib turut melancarkan tabung untuk Palestin dan menurunkan tandatangan di atas kain rentang bantahan.

Dalam pada itu, Najib menegaskan bahawa beliau tidak akan berganjak daripada prinsip membawa suara Malaysia yang menentang pengiktirafan Presiden AS, Donald Trump yang mengisytihar Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Perhimpunan ini adalah tsunami kebangkitan umat Islam yang merupakan pemangkin solidariti umat di Malaysia dan dunia,” jelas beliau.

Beliau turut mengumumkan Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis tidak akan terhenti di sini, sebaliknya akan diperluaskan ke seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, himpunan tersebut akan diadakan pada setiap hujung minggu ketiga pada setiap bulan di lokasi masjid-masjid lain.

“Atas cadangan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi perhimpunan, setiap bulan kita akan buat perhimpunan solidariti, bukan sahaja di masjid di Putrajaya tetapi juga masjid di seluruh negara,” katanya.

Menurut Najib, seluruh umat Islam di negara inj tanpa mengira ideologi politik perlu bersatu padu dalam membela hak rakyat Palesti.

“Kita lupakan sengketa politik sesama kita. Dalam hal ini kita boleh bersatu padu, tidak kira baju hijau, baju merah atau baju oren, asalkan ada niat yang sama,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *