PUTRAJAYA 15 Dis. – Kesedaran mengenai muamalah Islam dalam kalangan masyarakat di negara ini masih rendah dan ia perlu didedahkan secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai pihak.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penjelasan berhubung perkara ini boleh diadakan dengan bantuan Jabatan Agama Negeri (JAIN) melalui institusi masjid.
“Masyarakat hari ini lebih cenderung kepada sistem pelaburan yang tidak patuh syariah dan bersifat mendapat keuntungan segera dan terkeluar dari prinsip Islam.
“(Justeru) pencerahan perlu dilakukan segera supaya mereka faham dan perkara ini boleh diadakan dalam bentuk mudah serta santai bagi menarik minat masyarakat,’’ katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Video Pendek Cinta Muamalah 2017 anjuran yayasan dakwah islamiah Malaysia di sini.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Dr. Yusri Mohamad, Ketua Pegawai Esekutif Malaysian Takaful Association, Azli Munani, Director Islamic Capital Market, Bursa Malaysia, Shamsul Akmal Ahmad, Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia, Ahmad Ridzuan Abdullah
Dr. Asyraf Wajdi berkata, ia boleh dilakukan di masjid ketika mengisi masa selepas solat Maghrib sehingga Isyak.
Menurutnya, walaupun negara menjadi peneraju kepada sistem perbankan dan takaful Islam, namun ia lebih banyak digunakan golongan bukan Islam berbanding masyarakat Islam sendiri.
“Perkara ini berlaku kerana golongan bukan Islam lebih yakin serta memahami mengenai kebaikan sistem ini,’’katanya.
Sementara itu, Pertandingan Video Pendek Cinta Muamalah 2017, diadakan bertujuan mendidik masyarkat, mencintai muamalah dan ia adalah lanjutan daripada penganjuran program yang sama pada tahun lalu.
Sebanyak 111 penyertaan dalam kategori Takaful dan Pelaburan Patuh Syariah diterima.- HARIAN METRO
KOMEN