Home » Langit Terbuka » Kes saman fitnah Bilal Philips – Zamihan selesai

Kes saman fitnah Bilal Philips – Zamihan selesai

Bilal Philips berkata beliau bersyukur kerana kes ini berlaku di Malaysia kerana hanya di negara ini, beliau dapat peluang untuk membersihkan nama dan memberitahu kebenaran, tambahnya jika ia berlaku di Barat, peluang untuk mendapatkan keadilan tidak akan wujud

 

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah oleh pendakwah bebas warga Kanada, Abu Ameenah Bilal Philips terhadap Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr. Zamihan Mat Zin berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.

Kes itu sepatutnya mula dibicarakan semalam namun berakhir secara baik selepas Zamihan yang dinamakan sebagai defendan memohon maaf terhadap plaintif, Bilal Philips.

Permohonan maaf itu direkodkan oleh Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim di kamar hakim di sini yang turut dihadiri peguam Meor Amir Meor Omar Baki yang mewakili plaintif manakala peguam Fakhrul Azman Abu Hassan hadir bagi pihak Zamihan, 42.

Bilal Philips memfailkan saman tersebut pada 29 September tahun lalu selepas defendan memuat naik hantaran berbaur fitnah dalam laman sosial Facebook peribadi Zamihan dengan mengaitkan warga Kanada itu dengan keganasan antarabangsa.

Sementara itu, Meor Amir ketika ditemui selepas prosiding memberitahu, permohonan maaf tersebut perlu disiarkan menerusi akaun Facebook peribadi Zamihan dalam tempoh dua hari dari tarikh hari ini.

“Defendan juga perlu memadamkan hantaran yang dipertikaikan dan dihalang daripada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan yang memfitnah Bilal Philips sama ada secara bertulis atau lisan.

“Selain itu dipersetujui satu jumlah ganti rugi yang tidak didedahkan manakala jaminan kos sebanyak RM30,000 yang dibayar oleh Bilal Philips sebelum ini juga akan dipulangkan. Tiada sebarang perintah berhubung kos,” ujar peguam itu.

Sementara itu, Bilal Philips yang juga Canselor Islamic Online University memberitahu, beliau berpuas hati kes berjaya diselesaikan dan turut menegaskan dirinya tidak pernah terlibat atau menyokong keganasan.

“Macam mana saya boleh menyokong keganasan sedangkan nama saya berada dalam senarai bunuh Daesh? Saya juga bersyukur kerana kes ini berlaku di Malaysia kerana hanya di Malaysia, anda dapat peluang untuk membersihkan nama dan memberitahu kebenaran. Kalau ia berlaku di Barat, peluang untuk mendapatkan keadilan tidak akan wujud,” ujarnya.

Sementara itu Zamihan sekali lagi memohon maaf atas salah faham yang timbul akibat hantaran yang dibuatnya.

“Ia satu salah faham. Saya beritahu pada peguam plaintif serta peguam saya dan minta untuk leraikan salah faham ini dengan baik. Saya juga sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian pendapat dengan Bro Bilal,” ujarnya.

https://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/kes-saman-fitnah-bilal-philips-zamihan-selesai-1.720059#ixzz5MtTiVcgx

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *