PUTRAJAYA 5 Jun – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kes silap serah jenazah mualaf Cina di Hospital Kajang, Sabtu lalu adalah satu kecuaian.
Dr Subramaniam berkata, kes berkenaan tidak sepatutnya berulang kerana kejadian sama baru saja berlaku kira-kira tiga bulan lalu di Pulau Pinang.
“Ketika itu, kita sudah minta semakan semula semua prosedur operasi standard (SOP) di rumah mayat dilakukan dan semua ini sudah jelas.
“Jika sekali lagi berlaku, ini adalah kecuaian. Kita minta maaf serta akan siasat dan jika ada kecuaian dalam kalangan kakitangan kita, kita ambil tindakan,” katanya pada sidang media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kementerian Kesihatan di sini.
Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau mengulas kes silap serah jenazah mualaf, Lin @ Lim Ah San atau nama Islamnya, Hassan Abdullah, 74, oleh Hospital Kajang kepada pengurusan mayat bukan Islam hingga menyebabkan jenazah itu dibakar di krematorium dekat Cheras, kelmarin.
Dr Subramaniam berkata, kes berkenaan lebih sensitif berbanding sebelum ini kerana ia membabitkan individu yang berlainan agama.
“Kita memandang serius perkara ini kerana ia isu emosional yang dekat di hati rakyat khususnya saudara mara (Allahyarham Hassan).
“Siasatan akan dilakukan secepat mungkin dan dijangka tidak mengambil masa yang lama,” katanya. Ditanya sama ada kakitangan yang terbabit akan digantung tugas, Dr Subramaniam berkata, ia bergantung kepada siasatan.- : https://www.bharian.com.my
KOMEN