HULU SELANGOR 5 Feb. – Polis meminta orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi berhubung kes seorang mualaf yang gagal menyerahkan anak kepada bekas isterinya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sudah mengerahkan semua elemen dalam pasukan polis bagi mengesan Muhammad Ridhuan Abdullah yang kini masih menghilangkan diri bersama seorang anak perempuannya dan gagal dikesan.
Katanya, isu terbabit adalah satu perkara yang sensitif dan penyebaran pelbagai spekulasi hanya akan menjejaskan ketenteraman awam serta negara.
“Saya amat berharap spekulasi, andaian yang bukan-bukan tidak dibuat berhubung perkara yang amat sensitif ini.
“Saya sudah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta semua elemen dalam polis untuk mengesan lelaki terbabit seperti mana arahan mahkamah pada 2014,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 12/2018 sempena Perayaan Tahun Baharu Cina serta pelancaran Unit Siasatan Lebuhraya (ULSR) di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Ulu Bernam arah Selatan, hari ini.
Mohamad Fuzi sebelum ini berkata, pihaknya percaya Muhammad Ridhuan masih berada di dalam negara hasil maklum balas diterima daripada Jabatan Imigresen selepas membuat semakan.
Bagaimanapun, katanya hingga kini belum ada sebarang petunjuk di mana dia berada, justeru polis memohon bantuan orang ramai untuk tampil membantu menyalurkan maklumat kepada polis bagi membolehkan penahanan dibuat.
Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak M Indira Gandhi (bekas isteri Muhammad Ridhuan) adalah terbatal dan tidak sah.
Susulan itu, Indira Gandhi mengeluarkan kenyataan umum bahawa pihak polis tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menangkap bekas suami yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya. – BERITA HARIAN
KOMEN