KAJANG – Selain dakwah, pendidikan merupakan bidang yang diberi keutamaan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sebagai teras kepada program programnya.
Sebagai salah satu usaha mencapai hasrat dan teras itu, YADIM pada 7 Februari telah melakukan lawatan kerja ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) di sini bagi meninjau sebarang peluang untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan khususnya.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM merangkap Pengerusi JK Khas Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa, Dr Muhamad Razak Idris, selain turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Sektor Penyelidikan, Penerbitan dan Antarabangsa, Dr Masitah Esa, Pengarah Kanan Sektor Kewangan, Mohd Dawami Awang Senik, Pengarah Bahagian Kepimpinan Muda, Shahrizal Mat, Pengarah Bahagian Antarabangsa, Norazira Jaafar serta beberapa kakitangan lain.
Mewakili KUIS dalam pertemuan ini ialah Rektornya, Y.Bhg Profesor Datuk Dr Abdul Halim Tamuri serta kepimpinan kolej Universiti berkenaan.
YADIM Dan KUIS telah menandatangani MoU pada tahun 2018 yang lalu. Justeru pada tahun ini bagi mengukuhkan kerjasama, pelbagai perkara akan dibincangkan yang diyakini boleh memberi manfaat kepada kedua pihak dalam pertemuan selama lebih dua jam bermula jam 9.30 pagi itu.
Antaranya, YADIM berhasrat untuk menjalin kerjasama dalam bidang Penyelidikan dan Penerbitan bersama KUIS. YADIM telah berjaya menerbitkan sehingga kini 72 buah buku , 46 edisi Majalah Dakwah dan 6 terbitan Jurnal Umran dan mula menyampaikan dakwah melalui pelbagai platform media digital.
Pendigitalan karya dakwah juga akan dipergiatkan pada tahun ini bagi memperluas capaian umum terhadap karya-karya dakwah yang bermutu.
YADIM juga menawarkan kepada pensyarah KUIS yang berminat menjadi Rakan Pena YADIM untuk menulis di Majalah Dakwah, selain jemputan kepada mahasiswa atau pensyarah untuk sama- sama menyumbangkan dalam karya dakwah digital kepada YADIM.
Badan dakwah ini juga memohon kerjasama KUIS untuk berkongsi hasil penyelidikan di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah sedia ada yang bersesuaian di institusi itu untuk dimanfaatkan oleh YADIM.
KUIS juga ditawarkan untuk sama-sama terlibat dalam Simposium Dakwah Antarabangsa (SiDA), sebuah platform dakwah YADIM bagi pelaksanaan dakwah ilmiah di peringkat antarabangsa.
Menerusi platform ini, KUIS akan dapat bersama YADIM dan Rakan Dakwah Antarabangsa YADIM (RDAY) untuk menganjurkan kegiatan dakwah berbentuk keantarabangsaan (serantau atau sedunia) pada tahun ini dan akan datang
KUIS juga berpeluang untuk terlibat sama menyelaraskan program-program universiti di peringkat Antarabangsa, serta dalam jalinan kerjasama Khidmat Bakti Siswa (sukarelawan) menerusi program Salam Asia.
Dalam pada itu, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang memiliki mahasiswa yang berpotensi untuk dimanfaatkan, KUIS telah terlibat dalam program-program Rakan Siswa YADIM (RSY-KUIS). Tawaran juga terus dibuka kepada mahasiswa KUIS yang baru untuk menyertai RSY.
KUIS hingga kini merupakan antara institusi pengajian tinggi yang mempunyai hubungan erat dengan YADIM. Badan dakwah ini merupakan antara organisai pilihan oleh para pelajar KUIS untuk terus menjalani latihan praktikal saban tahun.
YADIM amat berterima kasih atas keyakinan dan kepercayaan yang diberikan KUIS untuk melatih para pelajarnya.
YADIM juga turut menawarkan pembukaan Squard Al-Rahmah dikalangan kakitangan dan pensyarah KUIS untuk terlibat sama dalam gerak kerja kesukarelawanan. Program khidmat bakti dan Street Dakwah merupakan kerja sukarela yang menjadi tumpuan utama bagi menyebarluas gerakan dakwah di peringkat akar umbi dalam aspek pendidikan, sosial dan kebajikan
KOMEN