Home » Langit Terbuka » Kerana Winter Sonata, rakyat Malaysia bergelar buruh haram, gelandangan

Kerana Winter Sonata, rakyat Malaysia bergelar buruh haram, gelandangan

Menurut laporan media tempatan, Korean Herald, jumlah keseluruhan pekerja asing tanpa izin (Pati) di negara ini mencecah 251,000 orang. (gambar hiasan). Foto : mSTAR

SEOUL: Bermula sebagai pelancong ketika menjejakkan kaki ke Korea Selatan, nasib kira-kira 5,000 rakyat Malaysia ini berubah daripada berstatus pekerja asing tanpa izin (Pati) atau buruh haram dan akhirnya bergelar gelandangan.

Perubahan status itu boleh berlaku bila-bila masa hanya dalam tempoh tiga bulan, selepas mereka masuk ke negara K-pop ini gara-gara teruja dengan tawaran iklan pekerjaan dengan gaji lumayan.

Namun, bukan semua keindahan seperti yang dipaparkan drama popular Korea, Winter Sonata itu menjadi realiti apabila ada antara mereka yang berdepan pelbagai keperitan hidup selepas membayar kos antara RM2,500 hingga RM4,500 kepada ejen.

Bilangan kira-kira 5,000 rakyat Malaysia yang mengambil risiko menerima tawaran bekerja di Korea Selatan sejak 2016 itu diperoleh hasil temubual dengan beberapa ejen di Malaysia, di mana dianggarkan antara 20 hingga 30 ejen menjalankan operasi menawarkan iklan pekerjaan itu.

Selain itu, maklumat berkenaan juga diperoleh daripada sukarelawan yang membantu rakyat Malaysia yang berdepan musibah di sini.

Sementara itu, menurut laporan media tempatan, Korean Herald, jumlah keseluruhan pekerja asing tanpa izin (Pati) di negara ini mencecah 251,000 orang.

Melihat kepada angka Pati di negara ini, memang jumlahnya tidak ramai berbanding Pati negara lain, namun ia tetap menjadi satu isu yang seharusnya mendapat perhatian pihak berwajib kerana ia melibatkan warga Malaysia dan imej serta nama baik negara kita sendiri.

Sebahagian kisah menyedihkan yang dilalui rakyat Malaysia di negara ini telah dilaporkan mStar Online, termasuk nasib mereka yang mengalami kecacatan kekal seperti putus jari, patah kaki dan tangan serta cedera akibat kemalangan di tempat kerja, selain masalah kewangan akibat ditindas majikan selepas bekerja tanpa dibayar gaji.

Rentetan itu, mStar Online mengambil inisiatif berkunjung ke Korea Selatan untuk mendapatkan gambaran jelas situasi rakyat Malaysia yang telah menerima tawaran kerja di sini menggunakan visa pelancong.

Tinjauan wakil portal berita ini ke beberapa lokasi di Korea Selatan pada Januari 2018 mendapati ada rakyat Malaysia hidup umpama pelarian, terpaksa bersembunyi bagi mengelak kehadiran mereka dihidu Jabatan Imigresen, selain menjadi gelandangan akibat diberhentikan kerja.

Kawasan sekitar Itaewon adalah antara lokasi yang dikunjungi di tengah kota Seoul, serta Daeso dan Muguk yang terletak di daerah Eumseoung, kira-kira 80 kilometer dari Seoul.

Musim sejuk ternyata tempoh mencabar bagi rakyat Malaysia kerana ada yang menganggur akibat tiada pekerjaan dan ketika berkunjung ke Daeso, ada dalam kalangan mereka yang terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang.

Seorang rakyat Malaysia yang mahu dikenali sebagai Farhan berkata, dia dan dua rakannya menjadi gelandangan selama hampir dua bulan kerana dibuang kerja, malahan tidak dibayar gaji selepas seminggu bekerja di sebuah syarikat rumpai laut.

“Saya dibuang kerja sebab lepas seminggu bekerja saya demam. Kami bertiga terpaksa harapkan kawan-kawan untuk makan dan ada kalanya terpaksa alas perut dengan makan biskut sahaja.

“Kami akan ke Masjid Sentral Korea untuk tidur setiap Sabtu dan Ahad kerana di sini ada qiamullail, tapi pada hari lain kami menumpang tidur di rumah kawan-kawan,” kata pemuda berusia 24 tahun ini.

Ketika mStar Online berkunjung ke masjid berkenaan, suasana sekelilingnya kelihatan biasa, namun di sudut tertentu ada beberapa beg lusuh diletakkan di kaki lima dipercayai milik warga asing yang menumpang tidur di situ.

Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu, dia dan rakan-rakan seramai 18 orang ‘disumbat’ oleh majikan dalam sebuah rumah di Gwangju.

Wanita yang bekerja di ladang bawang dan keledek itu hidup dalam keadaan bersesak hingga terpaksa tidur di depan pintu tandas dan lantai dapur.

Bagaimanapun, permintaan wartawan dan juruvideo mStar Online, Tuan Hafis Tuan Ludin untuk masuk ke kediaman mereka bagi meninjau keadaan sebenar ditolak atas dasar menjaga privasi rakan serumah yang lain.

Malahan, kata mereka, ada antara rakyat Malaysia yang dipaksa makan daging babi dan dikasari secara fizikal seperti ditendang majikan jika tidak melakukan kerja dengan pantas.

Biarpun musim sejuk hanya akan berakhir Mac ini, masih terdapat rakyat Malaysia yang sanggup bertahan dan meneruskan hidup dalam keadaan serba kekurangan semata-mata menunggu peluang pekerjaan baharu yang akan dibuka semula pada musim bunga nanti.

Berdasarkan maklumat awal, rakyat Malaysia yang menerima tawaran kerja di Korea Selatan bekerja tanpa rehat dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan rakan sekerja lain sepanjang waktu bekerja.

Mangsa juga tidak diberi taklimat, pakaian atau alat keselamatan yang sewajarnya sehingga mereka terdedah kepada risiko kemalangan.

Selain itu, beberapa lagi rakyat Malaysia mendedahkan ada majikan yang mengambil kesempatan terhadap status buruh haram mereka dengan tidak membayar gaji dan diberhentikan kerja tanpa belas ihsan.

Dakwa mereka, majikan terbabit bertindak seperti itu kerana yakin mereka tidak berani melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, kebanyakan mangsa hanya mampu mendiamkan diri kerana bimbang dicekup pihak berkuasa Korea Selatan tanpa mengetahui hak sebenar yang boleh dituntut sekiranya ditindas oleh majikan. –mSTAR

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *