Home » Langit Terbuka » Kerana kereta baharu, sanggup abaikan hutang PTPTN

Kerana kereta baharu, sanggup abaikan hutang PTPTN

Pengerusi PTPT berkata, pihaknya menerima banyak permohonan rayuan yang dilihat menggunakan alasan tidak munasabah untuk diberi kebenaran penangguhan

SINTOK – Sikap peminjam yang mengutamakan pembelian kereta baharu berbanding melunaskan pinjaman antara yang dikesan dalam permohonan rayuan penangguhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau menerima banyak permohonan rayuan yang dilihat menggunakan alasan tidak munasabah untuk diberi kebenaran penangguhan.

Beliau berkata, realitinya, peminjam sudah mendapat faedah dengan membelanjakan PTPTN tetapi enggan membayarnya kerana beranggapan ia tidak penting.

“Rayuan banyak tetapi bukanlah kerana masih tidak bekerja kerana perlu menjaga mak ayah yang sakit tetapi mereka merayu untuk membeli kereta. Jika alasan yang diberi munasabah, pastinya kita pertimbangkan.

“Sepatutnya mereka ini bolehlah bayar PTPTN tetapi ada yang meminta penangguhan pembayaran sedangkan pembayaran yang perlu dibuat hanya RM90 sebulan manakala kereta yang mahu dibeli RM600 sebulan.

“Agak tak adillah sekiranya mohon penangguhan PTPTN kerana alasan beli kereta. Kenapa tak pergi ke bank yang nak beli kereta tu minta tangguh sekejap bagi membolehkan pembayaran PTPTN.

“Jika kad kredit pula, kenapa tidak minta bank terbabit untuk penangguhan bayaran,” katanya pada sidang media selepas program Santai Bersama Pengerusi PTPTN di Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai peminjam PTPTN yang bekerja dengan gaji RM1,000 ke atas dan menghadapi masalah kewangan, Wan Saiful berkata mereka boleh mengemukakan rayuan dan akan dipertimbang sewajarnya.

“Kita menjangkakan pelaksanaan pemotongan gaji secara berjadual untuk bayaran balik pinjaman PTPTN dapat dilakukan pada suku pertama tahun depan.

“Dalam tempoh dua bulan ini, kita akan menjalankan penerangan di seluruh negara membabitkan pemegang taruh seperti penduduk setempat, universiti, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan juga media mengenai pelaksanaan pemotongan gaji secara berjadual ini,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *