Home » Langit Terbuka » Kerajaan Tiada Kuasa Urusan RUU 355 Di Parlimen

Kerajaan Tiada Kuasa Urusan RUU 355 Di Parlimen

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata sebarang permohonan untuk membahaskan usul persendirian itu perlu dibuat oleh Ahli Parlimen dengan mengemukakan notis 14 hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang dan diserahkan kepada Speaker bagi kelulusan

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak ada kuasa untuk campur tangan dalam urusan berkaitan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata sebarang permohonan untuk membahaskan usul persendirian itu perlu dibuat oleh Ahli Parlimen dengan mengemukakan notis 14 hari sebelum Dewan Rakyat mula bersidang dan diserahkan kepada Speaker bagi kelulusan.

“Ia bukan di bawah ruang kuasa kami di Jabatan Perdana Menteri (Agama) untuk menentukan siapa yang berbahas berkenaan perkara ini. Berdasarkan prinsip pengasingan kuasa, badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan perjalanan Parlimen termasuk dari segi pembentangan usul.

“Jika mereka (Ahli Parlimen) membawa usul itu, ia akan keluar dalam kertas Aturan Mesyuarat. Bagaimanapun, setakat ini, kita tidak lihat (dalam senarai).

“Jika Speaker memaklumkan usul itu akan dibahaskan, kita sedia (membahaskannya),” katanya selepas merasmikan majlis penutup Simposium Motivator dan Trainer Muslim Malaysia 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Presiden Pertubuhan Latihan Motivasi Muslim Malaysia (TAMRIN), Fadzli Yusof.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata kerajaan negeri akan berunding dengan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara RUU 355 walaupun terdapat desas-desus yang mendakwa RUU itu tidak akan dibahaskan di Parlimen pada sesi kali ini.

Pada 6 April 2017, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi meminda RUU 355, bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah dan meningkatkan hukuman jenayah sedia tanpa membabitkan masyarakat bukan Islam.

Fuziah berkata, sebelum ini, pembahas usul sudah ditanya sama ada usul itu sudah sedia untuk dibahas, namun pembawa usul mengatakan ia akan dibahaskan pada sesi akan datang. – BERITA HARIAN

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/07/453813/kerajaan-tiada-kuasa-urusan-ruu-355-di-parlimen

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *