Kota Bharu: Kerajaan menambah baik modul Penghayatan Pendidikan Islam (PPI) bagi Tabika dan Taska di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bermula tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penambahbaikan berkenaan fokus untuk memberikan pendedahan kepada kanak-kanak mengenai aspek ibadat dan pembelajaran al-Quran.
Katanya, bagi aspek ibadat khususnya fardu kifayah, penekanan diberi terhadap Rukun Iman dan Rukun Islam dengan beberapa praktikal serta pendekatan secara amali termasuk wuduk, penyucian, solat dan ibadat.
“Aspek kedua pula membabitkan pembelajaran al-Quran, kita akan memberi penekanan untuk menghafal surah Muqaddam dan 30 juzuk al-Quran serta mengenali huruf jawi. “Pada masa yang sama, kita juga tidak akan mengenepikan kanak-kanak agama lain yang turut bebas untuk beragama dan mereka boleh memulakan pendidikan dalam agama masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di Program Ramah Mesra bersama Kakitangan Kemas Kelantan di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Pengerusi Felcra Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, modul ini akan dimulakan tahun ini yang membabitkan 250,000 kanak-kanak di seluruh negara termasuk pengambilan baru.
“Bagi tujuan ini, kita menjalin kerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memberi latihan kepada pendidik,” katanya. – MetroTV
KOMEN