KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia akan menyiasat PROTON dan syarikat sekutunya dari China, GeelyHolding yang dikatakan tidak mengutamakan pekerja tempatan.
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, jika benar dakwaan itu tindakan tegas akan di ambil.
“Ya, jika benar PROTON tidak mengikut undang-undang tindakan tegas akan di ambil, kita akan (buat) siasatan,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-PKR Kapar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.
Abdullah Sani dalam soalan tambahannya ingin mengetahui sama ada syarikat pengeluar kereta dari negeri China, Zhejiang Geely Holdings Group tidak mengabaikan pekerja tempatan selepas membeli 49.9 peratus saham PROTON Holdings Bhd (PROTON).
Terdahulu menjawab soalan asal Abdullah Sani mengenai langkah kerajaan memantau pengambilan pekerja asing di negara ini, Kulasegaran berkata kerajaan mengenakan syarat ketat ke atas majikan yang ingin menggajikan pekerja asing.
Katanya, kementerian mewajibkan majikan mengiklankan kekosongan sesuatu jawatan dalam portal JobsMalaysia sebelum dikeluarkan perakuan kebenaran mengambil pekerja asing.
“Pendekatan ini adalah bagi memastikan keutamaan mengisi sesuatu kekosongan jawatan diberikan terlebih dahulu kepada rakyat tempatan.
“Kerajaan menetapkan nisbah di antara pekerja tempatan dan asing. Contohnya bagi sektor perkilangan, syarikat berorientasi eksport nisbah kelayakan pekerja tempatan kepada pekerja asing adalah satu nisbah tiga, bagi syarikat bukan orientasi eksport nisbahnya satu nisbah satu,” katanya.
Kulasegaran berkata, Seksyen 60M, Akta Kerja 1955 memperuntukan tiada majikan boleh menamatkan pekerja tempatan dengan tujuan mengambil kerja seseorang pekerja asing.
“Seksyen 60M akta yang sama juga menyatakan sekiranya majikan dikehendaki mengurangkan tenaga kerjanya oleh sebab lebihan pekerja maka majikan tidak boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan melainkan pekerja asing dalam kategori pekerjaan yang sama ditamatkan terlebih dulu” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE
KOMEN