Home » Langit Terbuka » Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

Kerajaan saring individu sampaikan ajaran Islam

Zulkifli

KUALA LUMPUR – Kerajaan melaksanakan saringan terhadap individu yang akan menyampaikan ajaran Islam di negara ini bagi mengekang penyebaran liberalisme yang berselindung di sebalik pelbagai aktiviti termasuk program wacana atau dialog.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, saringan itu dibuat melalui penguasa agama atau agensi keselamatan negara.

“Selain itu, kita juga melaksanakan tapisan terhadap bahan penerbitan dan kandungan media berunsur Islam berdasarkan garis panduan yang disediakan oleh pihak berkuasa agama dan agensi yang berkaitan.

“Sememangnya sudah menjadi tanggungjawab dan amanah untuk memastikan bahawa akidah, syariah dan akhlak adalah terkawal dan menepati kehendak syarak dan usaha-usaha telahpun dijalankan secara menyeluruh dan bersepadu,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai pendekatan diambil kerajaan dalam mengekang penyebaran fahaman liberal didapati berselindung disebalik program dialog dan wacana membabitkan individu yang mendukung fahaman fahaman tersasar daripada ajaran Islam sebenar.

Menyentuh mengenai aspek memperkukuhkan kurikulum mahupun pendidikan bagi mengekang penyebaran ideologi yang tersasar itu, Zulkifli menjelaskan ia sememangnya turut diberi perhatian.

“Di bawah Jawatankuasa Pemandu Menangani Ancaman Akidah dan perbincangan di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan sememangnya memainkan peranan yang penting.

“Ia untuk memastikan kurikulum bersepadu, kurikulum yang dapat menangani dan juga boleh memberikan satu kefahaman dan kesedaran akudah, syariah dan akhlak yang betul selandas dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah maka doakan negara kita akan terus terpelihara,” katanya.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *