Home » Langit Terbuka » Kerajaan Pertahan Islam Dalam Semua Aspek

Kerajaan Pertahan Islam Dalam Semua Aspek

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis Iftar PPBM, malam tadi.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan terus berpegang dan melindungi agama Islam di negara ini dalam pelbagai aspek termasuk pemerintahan, dasar dan pendirian.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau menolak dakwaan sesetengah pihak yang berpendapat kerajaan sedia ada tidak memberi perlindungan kepada agama Islam.

“Ini tidak tepat, kami juga bertanggungjawab memerintah negara tanpa mengabaikan perkara-perkara yang bertentangan dengan Islam.

“Ada pihak yang kononnya mendakwa melindungi Islam dan mendirikan kerajaan Islam tapi kita dapati perbuatan mereka juga bertentangan dengan Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Lebih 2,000 perwakilan dan ahli PPBM dari seluruh negara hadir memeriahkan program berkenaan.

Katanya, kerajaan sedia ada tidak akan teragak-agak dan khuatir untuk melaksanakan pemerintahan mengikut agama Islam dan akan membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan sesetengah pihak itu tidak benar.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PPBM, berkata Pakatan Harapan (PH) akan mendirikan kerajaan mengikut undang-undang negara dan tidak akan buat sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

“Ini mudah diterima oleh agama lain kerana apabila kita berpegang kepada Islam sebenar, negara akan ditadbir dengan baik, mengikut undang-undang, bersikap prihatin dan peduli rakyat.

“Ia bukan hanya diterima oleh orang Islam tetapi juga yang bukan Islam,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak akan diskriminasi terhadap agama lain kerana Islam menyuruh umatnya berpegang kepada keadilan sebagaimana disebut berkali-kali dalam al-Quran.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, majlis yang dianjurkan hari ini adalah bagi menyatakan kesyukuran selepas meraih kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Menurutnya, beliau secara peribadi tidak menyangka dapat mencapai kecemerlangan dalam pilihan raya lalu.

“Alhamdulillah, berkat sokongan dari rakyat maka, kemenangan kita amat nyata sekali sehingga pemerintah dahulu tidak dapat berbuat apa-apa.

“Peralihan kuasa juga berjalan dengan lancar dan ia satu pencapaian yang baik. Kita harus bersyukur kerana negara membangun terutama negara Islam, bila ada peralihan kuasa ia berlaku dalam keadaan yang cemas dan penuh rusuhan,” katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *