MUAR: Kehebatan dan keunggulan tamadun di alam Melayu suatu ketika dulu disebabkan penguasaan manusia zaman berkenaan dalam bidang sains dan teknologi serta kejuruteraan.
Ia menjadi antara faktor Melayu menjadi bangsa yang mempunyai peradaban yang hebat.
Ini dapat dilihat dari segi pembinaan rumah tradisional dan istana, selain penghasilan kemudahan asas seperti jambatan, pengairan serta saliran yang boleh berfungsi dengan baik.
Bangsa Melayu juga sudah menguasai beberapa teknologi berkaitan persenjataan dan pertahanan seperti pembinaan kubu yang tersusun baik serta sistem perhubungan termasuk jalan raya efektif.
Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, Hasanuddin Yusof, berkata kajiannya mendapati bangsa Melayu pada zaman dulu sudah mempunyai fikiran yang kreatif dan inovatif sehingga berjaya membina tamadun unggul.
Mahir guna sumber alam
Katanya, mereka amat mahir menggunakan sumber alam sekeliling untuk dimanfaatkan dalam kehidupan, sekali gus memberi faedah amat besar kepada masyarakat ketika itu.
“Untuk membangunkan tamadun ini, penguasaan sains, teknologi dan kejuruteraan serta sifat kreatif dan inovasi sangat penting.
“Tamadun Islam di Asia Barat sendiri berkembang melalui bidang ini sehingga mencapai kemajuan hebat.
“Barat pula mengambil penciptaan dan inovasi daripada tamadun Islam termasuk alam Melayu sehingga berupaya menguasai teknologi yang membolehkan penjajahan wilayah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Mini Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Dalam Islam di Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Edu Hab Pagoh di sini.
Yang turut hadir, Pensyarah Jabatan Pengajian Am Politeknik, Mohd Firdaus Mamat Junoh, Farha Muhammad dan Asnuurien Najma Ahmad serta Pengurus Projek Perhubungan Pengasih Negeri Johor, Zulkiflidin Wan Nordin.
Hasanuddin berkata, contoh bidang perkapalan dan pelayaran antara kemahiran yang begitu signifikan dengan orang Melayu.
“Orang Arab belajar ilmu berkenaan daripada orang Melayu yang kemudiannya Eropah belajar dari mereka.
“Akhirnya orang Eropah pula belayar ke alam Melayu dan menjajah wilayah di rantau ini,” katanya.
Hasanuddin berkata, kajian banyak pihak sebelum ini juga mendapati orang Melayu mempunyai pengetahuan luas dalam menyusun dan membuat layar hingga membolehkan mereka belayar merintangi arah angin serta mampu belayar jauh.
“Dari zaman dulu lagi, orang Melayu sudah sampai ke Afrika Timur. Banyak kajian sudah dibuat mengenainya, malah banyak tumbuhan bukan berasal dari benua Afrika dibawa oleh orang Melayu.
“Contohnya pisang yang dibawa oleh orang Melayu terutama dari sebelah kepulauan Borneo hingga akhirnya menjadi antara makanan ruji kepada penduduk di sana.
Banyak persamaan
“Ramai juga berhijrah ke benua itu khususnya, di Madagascar hingga menjadi antara suku di sana yang dikenali sebagai suku kaum Merina yang mempunyai banyak persamaan dengan orang Melayu terutama bahasa dan raut wajah,” katanya.
Sementara itu, Asnuurien Najma ketika membentangkan Keunggulan Budaya Teknologi Memacu Kemajuan Bangsa berkata, pembudayaan aspek berkenaan akan dapat memupuk semangat dalam usaha memajukan negara.
“Jika kita lihat budaya masyarakat tamadun awal seperti Mesopotamia, Indus, Huang Ho, Rom dan Yunani mempunyai teknologi tinggi.
“Ini disebabkan keadaan budaya dan semangat juang bangsa terbabit untuk membangunkan negara kerana sesuatu tamadun akan bermula dengan penguasaan ilmu.
“Kita melihat pentingnya semangat tinggi untuk bersaing dan membangunkan negara, sekali gus memerlukan kita untuk menggarap kesedaran dalam diri semua pelajar,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat di negara ini lebih banyak ‘membeli’ berbanding menggunakan budaya mencipta yang sebenarnya boleh dilakukan oleh sesiapa saja yang menguasai bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
Program mini seminar anjuran Jabatan Pengajian Am Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail itu dihadiri lebih 200 pelajar jurusan sains, teknologi dan kejuruteraan. – BERITA HARIAN
KOMEN