KUALA LUMPUR – Kerajaan berhasrat meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) sebagai langkah dan komitmen negara memperkasa Mahkamah Syariah secara komprehensif.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata antara penambahbaikan dilihat adalah dari segi menaikkan kadar hukuman.
Katanya, kerajaan akur bidang kuasa mahkamah berkenaan terbatas dengan peruntukan mengikut Akta 355 dan had hukuman diperuntukkan ada kalanya tidak setimpal dengan kesalahan.
“Bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan secara berasingan kerana aspek pemerkasaan Mahkamah Syariah terutama dalam bidang jenayah bukan saja tertumpu terhadap isu bidang kuasa atau had hukuman mengikut Akta 355 semata-mata, tetapi membabitkan pelbagai aspek yang sama penting seperti peningkatan tahap kompetensi hakim, Pendakwa Syarie dan pegawai penguatkuasa agama.
“Kita juga melihat penggubalan dan pindaan undang-undang syariah sedia ada serta penyeragaman dan penyelarasan undang undang jenayah, yang sekarang ini belum ada lagi pelarasan di negeri-negeri,” katanya di sidang Dewan Negara.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Muhamad Mustafa yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat meminda akta berkenaan yang sebelum ini dibawa sebagai Rang Undang-undang Persendirian.
Fuziah berkata, Akta kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 atau Akta 559 dan enakmen kesalahan jenayah syariah di negeri dilihat menggunakan had hukuman ini. – Bernama
KOMEN