ALOR SETAR: Kerajaan menyasarkan untuk menamatkan kemiskinan tegar yang masih membelenggu rakyat di seluruh negara termasuk negeri Kedah, pada tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah mengaibkan bagi negara yang memiliki keupayaan daripada pelbagai hasil namun masih tidak dapat menyelesaikan perkara asas seperti itu.
Justeru, beliau meminta seluruh jentera Kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri dan jentera majlis perbandaran untuk sama-sama berganding bahu bagi mencapai hasrat menoktahkan kemiskinan tegar.
“Tahun ini kita ambil keputusan untuk menoktahkan kemiskinan tegar. Antara negeri yang masih catat kemiskinan tegar termasuklah Sabah dan Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Tanpa terkecuali kita akan pastikan masalah kemiskinan tegar, insya-Allah akan dapat ditangani dengan sebaiknya dan Kedah melalui program Kerajaan Perpaduan Madani akan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh Kedah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di sini, pada 29 April.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Anwar berkata, Malaysia memiliki keupayaan yang baik melalui khazanah besar selain minyak dan gas, kelapa sawit dan pelbagai industri yang mampu membantu ke arah mencapai sifar kemiskinan tegar.
Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan Kedah adalah negeri yang diberi tumpuan termasuk membuat keputusan untuk menyediakan peruntukan yang lebih besar berbanding tahun sebelumnya.
“(Keseluruhan peruntukan) mencecah RM1.6 bilion untuk 2023 tidak termasuk langkah lain seperti bantuan sekolah daif, klinik daif dan projek-projek bekalan air di beberapa daerah yang harus dibantu.
“Malah, baru-baru ini apabila saya ke China ada cadangan untuk meningkatkan pelaburan di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan untuk pengetahuan rakyat (Kedah) saya jamin akan memberi kerjasama penuh untuk percepat proses itu bersama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Menurut Anwar, terdapat beberapa permohonan lain yang sudah tentu akan diberi pertimbangan kerana sama ada kerajaan negeri bersama dalam Kerajaan Perpaduan atau tidak, tanggungjawab memelihara rakyat tetap diteruskan.
“Mengira kekuatan yang ada pada masyarakat Malaysia dan untuk kita terus maju, meningkat sebagai negara Madani yang boleh memangkinkan melalui program yang memacu pertumbuhan bermakna hanya melalui kesatuan yang ampuh.
“Malaysia dan saya percaya Kedah sendiri mampu diangkat sebagai negara makmur, cemerlang dan Madani andai kata kita dapat urus negara dengan baik dan menggunakan seluruh kekuatan jentera untuk menjaga kebajikan rakyat dan keharmonian semua kaum,” katanya. – UTUSAN
KOMEN