KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan membuat kajian mengenai pelan tindakan warga emas dalam usaha memastikan golongan berkenaan tidak diabaikan oleh anak-anak.
Timbalan Perdana Menteri, berkata kajian menyeluruh dikenali sebagai Kajian Diagnostik Model Penjagaan Warga Emas itu bagi merangka aspek penjagaan golongan berkenaan untuk jangka masa panjang.
Katanya, kajian itu bagi memastikan ibu bapa tidak diabaikan anak-anak, sekali gus memastikan golongan berkenaan dilindungi kebajikan mereka.
“Undang-undang khusus berhubung isu ini juga akan dibentuk supaya penjagaan warga tua ini dilaksanakan secara menyeluruh dan mapan,” katanya ditemui media selepas merasmikan Pusat Jagaan dan Latihan Pekerjaan Tasputra PERKIM di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengenai cadangan penggubalan undang-undang khusus bagi melindungi warga emas daripada pengabaian atau penderaan emosi dan fizikal.
Cadangan itu dikemukakan beberapa pihak berikutan pendedahan BH mengenai pengabaian ibu bapa oleh anak-anak sehingga ada yang terpaksa mengemis dan ditinggalkan keseorangan di rumah tanpa penjagaan.
Difahamkan undang-undang berkaitan tanggungjawab dalam aspek penjagaan ibu bapa sudah dilaksanakan di Bangladesh, China, India dan Singapura sejak 1990-an dan terbukti berkesan untuk melindungi hak warga emas.
Di Singapura, anak wajib menanggung ibu bapa berumur 60 tahun ke atas dengan membayar sejumlah wang setiap bulan atau secara sekali gus mengikut undang-undang dikenali Parental Maintenance Act 1995.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kajian itu penting sebelum undang-undang khusus mengenai penjagaan warga emas dapat diperkenalkan.
Katanya, kerajaan mengambil maklum bahawa aspek tekanan hidup dan masalah ekonomi juga antara sebab anak-anak mengabaikan ibu bapa.
“Justeru, tumpuan kajian bukan hanya melihat kepada aspek hukuman saja kepada anak-anak yang mengabaikan ibu bapa tetapi aspek lain.
“Hukuman saja akan menyebabkan bebanan kepada institusi penjara, jadi kita kena tangani isu ini secara menyeluruh membabitkan semua aspek berkaitan,” katanya. – Berita Harian
KOMEN