JOHOR BAHRU 30 Jan. – Kerajaan negeri menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan kira-kira RM500,000 bagi menyediakan Skim Bantuan Guaman Syarie Johor Tahun 2018 yang akan dilaksanakan bermula 1 Februari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata skim julung kali diperkenalkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi Bajet Johor itu bagi membantu golongan kurang mampu mendapatkan khidmat guaman.
“Skim ini berkonsep membantu mengurangkan beban golongan yang tidak berkemampuan dalam menuntut hak Mahkamah Syariah berkaitan dengan kes kekeluargaan Islam.
“Garis panduan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan skim ini diwujudkan bagi memudahkan proses pelaksanaan dan kawalan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Taklimat Skim Bantuan Syarie Negeri Johor di Kompleks Mahkamah Syariah Johor pagi ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Muhamad Fuad Radzuan; Ketua Hakim Syariah Johor, Amir Danuri dan Timbalan Pengarah Operasi JAINJ, Buranuddin Tibek.
Terdahulu 45 peguam dari kumpulan pertama melafazkan Ikrar Panel Skim bantuan Guaman Syarie Negeri Johor.
Abd Mutalip berkata, kos atau pembiayaan skim ini ditentukan oleh jawatankuasa yang diberikan amanah untuk mengenal pasti mereka yang benar-benar layak.
“Kita akan membantu mereka-mereka yang layak untuk mendapatkan skim bantuan ini menerusi 45 peguam syarie dilantik di bawah MAINJ.
“Justeru menjadi tanggungjawab jabatan untuk mengeluarkan maklumat dan perkhidmatan kepada orang ramai berkaitan persoalan dalam isu berkaitan agama Islam,” katanya.
Katanya, terdapat 15 kes syariah tersenarai dalam skim bantuan itu merangkumi perceraian, nafkah edah, mutaah, penjagaan anak dan ia berangkai antara satu sama lain bermula dari sebelum perceraian hinggalah perceraian.
“Bagaimanapun peguam terbabit hanya mewakili satu pihak dan mereka yang tidak mampu, malah peguam itu akan mewakili pihak teraniaya yang membuat tuntutan.
“Bagi peringkat pertama ini, sasaran 200 kes menerima bantuan khidmat guaman dan akan meningkatkan jumlahnya jika keperluan bertambah,” katanya.
Abd Mutalip berkata, Skim Bantuan Guaman Syarie adalah skim bantuan yang diberi kepada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan Khidmat Guaman Syarie dibayar mengikut keperluan kes diputuskan Jawatankuasa Skim Bantuan Guaman Syarie.
Katanya, pemohon tergolong dalam kalangan mereka kurang berkemampuan sama ada pihak suami atau bekas suami, isteri atau bekas isteri dan memenuhi syarat ditetapkan.
Proses permohonan skim ini menerusi borang diperoleh daripada Pejabat Kadi Daerah dan menghantarnya bersama dokumen diperlukan.
Syarat lain, beragama Islam, warganegara, bermastautin di Johor, pendapatan tidak melebihi RM3,000 dan tidak pernah mendapatkan khidmat Jabatan Bantuan Guaman (JBG). – BERITA HARIAN
KOMEN