KUALA LUMPUR – Peranan Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) dalam membantu merawat penagih dadah perlu diberikan pengiktirafan sewajarnya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata kerajaan menghargai sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) seperti PENGASIH kerana mustahil untuk kerajaan melaksanakan semua perkara.
Katanya, pendekatan yang diambil PENGASIH menerusi program pemulihan mereka dapat membantu meningkatkan sifat kendiri penagih seterusnya mengelak mereka kembali terjerumus dalam penagihan dadah.
“Bila kita berhadapan dengan kelompok bermasalah seperti individu yang terbabit dengan dadah, untuk selesaikan masalah ini perlu ada dua cara iaitu preventif dan rehabilitatif.
“PENGASIH melaksanakan kedua-dua cara itu, maka secara tidak langsung mereka membantu kerajaan kerana mustahil untuk kerajaan buat segala-galanya, di sini kita perlu iktiraf sumbangan PENGASIH kerana bukan semua orang boleh lakukan apa yang PENGASIH buat,” katanya ketika menghadiri majlis berbuka puasa PENGASIH, di sini.
Fuziah berkata, pendekatan bersifat empati yang dilaksanakan PENGASIH membantu untuk memahami mereka yang terbabit dengan penagihan dadah.
“Kita tidak mahu menghukum mereka (penagih dadah) tetapi kita mahu pulihkan mereka dan kembalikan mereka semula kepada masyarakat, kita tidak mahu mereka kembali menagih semula.
“Kita juga mahu bina jati diri mereka, kita mahu beri mereka peluang kerana mereka ada masa depan, inilah apa yang sedang dilakukan oleh PENGASIH
“Selain itu pendekatan ‘non judgemental’ yang diguna pakai PENGASIH amat penting, kita mahu pendekatan lebih kepada empati untuk dapat memahami mereka, bila mereka ada kesedaran kendiri mereka mampu memulihkan diri mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, Presiden PENGASIH, Ramli Abdul Samad menyambut baik komitmen yang ditunjukkan kerajaan.
“Kami nampak kerajaan komited untuk membantu kami terus laksanakan apa yang dibuat di sini sejak bertahun-tahun lalu, kami jemput Yang Berhormat Timbalan Menteri dan beliau terus terima undangan, ini petunjuk yang baik.
“Kami harap komitmen kerajaan ini berterusan, kerana sebelum ini pernah juga kami dijanjikan pelbagai perkara, namun akhirnya ia kekal sebagai janji-janji manis sahaja yang tidak ditunaikan,” katanya. – Berita Harian
KOMEN