Home » Langit Terbuka » Kerajaan cadang wujud SOP wanita tempatan kahwin warga asing

Kerajaan cadang wujud SOP wanita tempatan kahwin warga asing

Kahwin
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, SOP itu adalah bagi memastikan wanita Malaysia tidak dijadikan alat dan dipergunakan oleh warga asing. - Foto Hafiz Rahim

PETALING JAYA – Kerajaan akan mencadangkan satu prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkahwinan wanita tempatan dengan warga asing bagi mengelakkan mereka menggunakan hubungan itu hanya untuk tinggal lebih lama di negara ini untuk tujuan berniaga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, SOP itu adalah bagi memastikan wanita Malaysia tidak dijadikan alat dan dipergunakan oleh warga asing.

“Kena ada prosedur khas seperti kahwin bawah umur. Kita buat SOP untuk semak satu-satu. Mereka (yang mahu kahwin) kena temuduga, semak psikologi dan mentalnya.

“Dan ini (perkahwinan wanita tempatan dengan warga asing) juga kena wujudkan SOP,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas pengarah penguat kuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed yang menggesa kerajaan memperketatkan syarat kepada warga asing yang ingin mengahwini wanita tempatan bagi mengelakkan mereka menggunakannya hanya untuk tinggal lebih lama di negara ini.

Ishak berkata, pendaftar nikah dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) perlu bekerjasama dengan Jabatan Imigresen.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya mendapat rungutan masyarakat, terutama peniaga tempatan apabila semakin ramai warga asing mengambil kesempatan berkenaan.

“Setakat ini kami mendapati 400 pasangan warga Pakistan berkahwin dengan wanita tempatan di negeri ini dan sebanyak 10 hingga 15 kes dibatalkan permit apabila kami mengesan warga asing itu tidak tinggal dengan isteri mereka tetapi berkahwin hanya untuk tujuan tertentu.

“Agak tidak wajar warga asing berusia 20 hingga 30-an dilihat sanggup berkahwin dengan wanita tempatan walaupun berusia lebih separuh abad bagi mendapatkan lesen mudah untuk tinggal di Malaysia dan menjalankan perniagaan,” kata Azhar.

Fuziah berkata, dari segi undang-undang keluarga Islam, tidak ada lagi SOP mengenai perkahwinan wanita tempatan dengan warga asing.

Sehubungan dengan itu, Fuziah berkata beliau akan membawa cadangan bagi mewujudkan SOP berkenaan kepada Jabatan Kehakiman.

“Saya akan bawa sebagai satu perbincangan untuk lihat (SOP) ini dari segi perundangan kepada Jabatan Kehakiman,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *