Menurutnya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut komited membantu golongan memerlukan melalui skim bantuan pendidikan dari sekolah rendah hingga peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
“Sehingga Ogos lalu sebanyak RM68 juta agihan dana zakat disalurkan kepada anak-anak asnaf bagi tujuan itu.
“Antaranya bantuan am persekolahan kepada hampir 32,000 pelajar membabitkan peruntukan RM22 juta, bantuan pelajar Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP RM16.8 juta, bantuan am IPT RM15 juta dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar dan Penyampaian Insentif Galakan Hafazan 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan di sini pada Isnin.
Katanya, pada tahun ini MAIWP bersetuju memberikan insentif kepada 698 pelajar cemerlang akademik sebanyak RM3.1 juta selain sumbangan komputer riba dan insentif tunai Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)
Tambahnya, MAIWP turut menyampaikan Insentif Galakan Hafaz Al-Quran kepada 529 peserta dengan jumlah keseluruhan bantuan hampir RM2 juta.
Ujarnya, sehingga kini MAIWP menyediakan 38 skim bantuan merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, keusahawanan, perubatan, perlindungan dan pembangunan ummah.
“Hal ini termasuk 11 institusi pendidikan bermula pusat asuhan hingga pengajian tinggi yang dibangunkan MAIWP.
“Kemampuan institusi ini terus beroperasi adalah melalui hasil kekuatan dana zakat yang diterima dengan seramai 8,059 pelajar menikmati peluang pendidikan di sini,” katanya.
Beliau berharap Belanjawan 2025 yang bakal dibentangkan tidak lama lagi akan terus memberikan peruntukan tambahan terhadap aspek pentadbiran dan pendidikan Islam agar lebih banyak penumpuan ummah khususnya golongan asnaf dapat dibangunkan.
“Hasrat peruntukan tambahan ini telah disampaikan kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melalui sesi libat urus yang diadakan.
“Melalui peruntukan tambahan ini antara yang menjadi penumpuan membabitkan pembangunan sistem e-halal untuk dinaik taraf memerlukan peruntukan agak besar.
“Jika diluluskan, dijangka proses menunggu pensijilan digital itu dapat dipendekkan,” katanya.
KOMEN