Home » Langit Terbuka » Keputusan ICC keluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu tindakan wajar – PM Anwar

Keputusan ICC keluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu tindakan wajar – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama kanak-kanak semasa meluangkan masa makan tengah hari di Medan Selera Presint 9 hari ini. Beliau kemudianya menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Husna, Presint 9. –fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang di Gaza adalah wajar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mengalu-alukan keputusan ICC itu berkata tindakan badan kehakiman dunia itu adalah berlandaskan hukum, bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan oleh rejim Zionis berkenaan.

“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (dua pemimpin Israel itu) ke luar (negara), (dia) harus ditangkap,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Husna Presint 9 di sini hari ini.

Dalam keputusan bersejarah, ICC pada Khamis mengumumkan bahawa waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.

Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 yang lain.

Anwar berkata keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap dua individu itu juga secara tidak langsung mengesahkan kejadian keganasan dan penindasan yang berlaku terhadap Palestin dan rakyatnya.

“Ini suatu pengesahan tentang apa yang berlaku selama ini (di Palestin), yang kadang-kadang dipertikaikan oleh sebahagian orang, kerana ICC badan yang memutuskan berdasarkan hukum dan bukti,” katanya.

Sementara itu beliau berkata keputusan mengeluarkan waran tangkap oleh ICC itu juga sebagai satu kemenangan bagi pihak yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan.

“(Ia) kemenangan bagi yang menegakkan keadilan dan kemanusiaan dan tentunya membantu meringankan perasaan derita rakyat Palestin dan Gaza.

Ditanya mengenai tindakan Amerika Syarikat (AS) menolak waran tangkap berkenaan, Anwar berkata: “Itu keputusan AS tetapi saya rasa keputusan dunia sebaliknya”.

Semalam media antarabangsa melaporkan White House menolak keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza. –AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *