Oleh ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
S.S Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah Mufti Wilayah Persekutuan
Sebenarnya cabaran dalam melayari kehidupan khususnya ketika menjawat jawatan dalam perkhidmatan awam, badan berkanun atau swasta amat banyak. Justeru, bagi menanganinya sudah pasti perlu mengenali sifat-sifat mazmumah yang menghalang integriti. Banyak halangan untuk mencapai dan merealisasikan falsafah Pelan Integriti Nasional (PIN). Antaranya termasuklah:
1. Rasuah
Rasuah mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok atau menyuap). Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab, al-Risywah. Dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum, batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang, semua perkataan “memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.
Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan kata lain, mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya, orang yang melakukan rasuah ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka sahaja. Sebagai umat Islam, keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa jua urusan. Islam melarang umatnya mengamalkan rasuah.
2. Khianat
Khianat ialah perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan kepada orang lain, melakukan tipu daya, perbuatan belot atau tidak setia sama ada kepada negeri, bangsa dan lain-lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).” (al-Anfal: 27). Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma’ani: Asal khianat ialah kekurangan sebagaimana asal menunaikan janji dengan kesempurnaan. Ia berlawanan dengan maksud amanah. Maksudnya ialah tidak beramal dengan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
3. Birokrasi
Birokrasi ialah sistem pemerintahan dan cara pentadbiran yang melibatkan berbagai-bagai peringkat atau proses pengurusan dan banyak peraturan. Ia juga bermaksud sistem pemerintahan atau pentadbiran yang dikendalikan atau dijalankan oleh pegawai-pegawai kerajaan (yang tidak dipilih oleh rakyat). Cara pemerintahan atau pentadbiran dengan pegawai-pegawai kerajaan yang mempunyai kuasa yang besar.
4. Berdusta atau berbohong
Berdusta atau berbohong bermaksud berkata yang tidak benar. Dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud RA bahawasanya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kebenaran itu akan membawa kepada kebaikan, dan kebaikan akan membawa kepada syurga, dan seseorang itu akan sentiasa berkata benar dan terus-menerus mencari jalan kebenaran sehingga ia akan ditulis di sisi Allah sebagai orang yang benar. Dan sesungguhnya dusta itu akan membawa kepada dosa, sedang dosa itu akan membawa kepada neraka, dan seseorang itu akan sentiasa berkata dusta, dan terus-menerus mencari jalan dusta, sehingga ia akan ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta. (HR Bukhari 10/507 dan Muslim 4/2012-2013). Syeikh Uthaimin berkata: “Hadis ini menunjukkan ancaman daripada berbohong, iaitu mengkhabarkan sesuatu perkara yang menyalahi realiti sebenarnya sama ada perkataan atau perbuatan.”
5. Bertangguh
Daripada Ibn Umar RA katanya: “Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda, maksudnya: ‘Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir. Dan akulah Ibn Umar RA berkata, apabila kamu berada di waktu petang maka jangan kamu tunggu waktu pagi, dan apabila kamu berada di waktu pagi maka jangan kamu tunggu petang. Ambillah dari kesihatanmu untuk sakitmu dan dari kehidupanmu untuk matimu.” (Hadis sahih ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Riqaq, Ucapan Nabi: Jadilah di dunia seperti orang asing, no. hadis 6053 dan Imam al-Turmuzi, Bab Berkenaan Dengan Memendekkan Angan-Angan, no. hadis 2333).
6. Melepak
Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: “Awasilah kamu daripada duduk di tepi jalan. Para Sahabat bertanya: ‘Hai Rasulullah, kami terpaksa berada di tempat duduk kami dan berbual di situ. Sabda Rasulullah: ‘Jika kamu enggan, hendaklah kamu berilah hak jalan. Para sahabat bertanya: ‘Apa haknya? Sabda Rasulullah: ‘Tundukkan pandanganmu, mencegah daripada perkara yang menyakitkan, menjawab salam dan melaksanakan amar maaruf serta nahi mungkar.” (Hadis sahih ini Muttafaq ‘alaih. Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 5875 Kitab al-Muzalim dan Muslim 114, Kitab al-Libas wa al-Zinah). Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, lepak ialah budaya atau tabiat yang merupakan amalan negatif dalam kalangan masyarakat seperti golongan remaja yang menghabiskan masa dengan duduk-duduk tanpa melakukan kegiatan yang berfaedah.
Kaedah penyelesaian
Pelbagai cara boleh digunakan dalam usaha menyelesaikan isu integriti dan mengatasi halangan yang menjejaskan integriti iaitu sama ada melalui pendekatan agama, muhasabah, etika, akhlak, undang-undang, nasihat atau kaunseling dan lain-lain. Tetapi yang utamanya, langkah penyelesaian ini harus bertitik tolak daripada kesedaran diri yang tinggi antaranya melalui:
1. Penekanan Agama
Jika dilihat daripada perkataan al-din dalam bahasa Arab membawa beberapa pengertian. Antaranya: pembalasan, kebiasaan, ibadat, ketaatan, perhitungan, paksaan, kemenangan, ketinggian, kesultanan, pemerintahan, perjalanan, pentadbiran, keesaan, nama bagi segala perkara yang bertujuan mengabdikan diri kepada Allah SWT dan agama. Antara yang penting dalam penyelesaian ialah tauhid kepada al-Khaliq. Ia bererti mengesakan Tuhan dan pada syaraknya pula bermaksud mengesakan Allah SWT dengan ibadat serta meyakini keesaan tersebut pada zat, sifat-sifat dan perbuatan-Nya.
2. Muhasabah
Muhasabah atau menghitung diri adalah sebahagian daripada jalan ke arah tercapainya ma’rifatullah. Muhasabah diri memerlukan persediaan hati yang penuh sedar, pemikiran yang celik dan terbuka, serta sensitif kepada bisikan nafsu dan syaitan.
3. Perubahan Minda
Reformasi minda perlu dijadikan pendorong kepada ummah agar tidak merelakan diri diperlekeh. Satu isyarat jelas kepada dunia bahawa umat Islam tidak miskin idea, bahkan tetap cekal merealisasikan aspirasi negara melalui kejayaan bertaraf dunia. Namun, pada masa yang sama, gejala-gejala keruntuhan akhlak yang melanda sejak kebelakangan ini semakin menjurus kepada generasi masa depan yang pincang.
4. Tekun dan Dedikasi
Daripada Aisyah RA Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa Allah mencintai seseorang yang apabila ia mengerjakan sesuatu kerja, ia laksanakan dengan cemerlang.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Ya’la daripada Aisyah. Mus’ab bin Thabit Ibn Hibban menthiqahkannya, sedangkan jamaah mendaifkannya. Sheikh al-Albani berkata: al-Hakim telah mensahihkannya dan disetujui oleh al-Zahabi. Al-Suyuti telah menisbahkan hadis kepada al-Baihaqi dalam Syua’b al-Iman). Begitu juga hadis diriwayatkan oleh al-Tabrani dalam al-Kabir, sebagaimana disebut dalam al-Majma’ 4/98.
5. Memelihara Waktu
Dr. Yusuf al-Qardhawi berkata: “Insan mukmin hendaklah pandai menyusun dan mengaturkan masanya dalam menghadapi pelbagai tugas dan amal usaha, sama ada yang berhubung kait dengan urusan keagamaan dan keduniaan, sehingga dapat dilaksanakan dengan baik tanpa berat sebelah. Jangan sampai yang kurang penting menjejaskan yang penting. Perkara yang penting menjejaskan yang terpenting. Jangan pula perkara yang mesti dilakukan pada masa tertentu terjejas disebabkan perkara yang tidak mempunyai waktu terhad. Dengan demikian, sesuatu yang harus dilakukan dengan segera hendaklah ditunaikan terlebih dahulu. Hendaklah dibelakangkan perkara yang bukan bersifat segera. Sesuatu yang mempunyai waktu tertentu wajib dilakukan tepat pada masanya.”
Daripada Ibn Abbas RA berkata: Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) dalam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 6412, Ahmad dalam Musnadnya 1/344, al-Turmuzi dalam al-Zuhud 2304, Ibn Majah dalam al-Zuhd 4170 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 3/370).
6. Sabar
Nilai sabar amat tinggi di sisi Allah SWT. Ini berdasarkan kepada banyak nas sama ada al-Quran atau hadis. Sabar, ertinya tahan menempuh suatu yang sukar. Sabar yang terpuji ialah sabar atas mengerjakan taat kepada Allah SWT, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi antara sifat sabar itu, terdapat sifat sabar kerana mengerjakan taat dan meninggalkan maksiat ialah sabar yang lebih utama, lebih utama daripada sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan.
7. Etika Akhlak
Kemuliaan akhlak merupakan matlamat utama bagi ajaran Islam sebagaimana sabda Nabi SAW maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.” (Hadis Sahih, riwayat Imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad). Antara etika akhlak tersebut ialah menjauhkan diri daripada perkara syubhah, memelihara pandangan, memelihara lidah, bersifat pemalu, bersifat lemah-lembut dan sabar, bersifat benar, bersifat tawaduk, menjauhi sangka buruk, mengumpat dan bermurah hati.
Penutup
Sebenarnya, dengan adanya iman, tauhid dan takwa terhadap al-Khaliq, sudah pasti ia memberi impak yang maksimum kepada seseorang untuk menjadikan dirinya benar-benar berintegriti. Hal ini jelas terbukti pada zaman Rasulullah SAW dan generasi sahabat yang ditarbiah dengan kekuatan hati yang beriman dan bertauhid. Mereka bukan sahaja menjadi sebaik-baik ummah, tetapi juga memimpin tamadun kemanusiaan mengikut acuan syariat Islamiah.
Seorang yang soleh dan mengaku beriman kepada-Nya akan merumuskan cara menewaskan musuh ketatnya iaitu sama ada hasutan syaitan atau mengikut hawa nafsu. Saya telah merenung dan memikirkan cara-cara dari pintu manakah syaitan masuk ke dalam diri manusia. Ternyata ia masuk ke dalam diri manusia melalui sepuluh pintu.
Pertama: Tamak dan buruk sangka. Maka saya menghadapinya dengan sifat menaruh kepercayaan dan berpada dengan apa yang ada.
Kedua: Cintakan kehidupan dunia dan panjang angan-angan, lalu saya menghadapinya dengan perasaan takut terhadap kedatangan maut yang boleh berlaku saban waktu.
Ketiga: Cintakan kerehatan dan kemewahan, lantas saya menghadapinya dengan keyakinan bahawa kenikmatan itu akan hilang dan balasan buruk pasti menanti.
Keempat: Kagum terhadap diri sendiri (ujub) lantas saya menghadapinya dengan rasa terhutang budi kepada Allah SWT dan kepada akibat yang buruk.
Kelima: Memandang rendah terhadap orang lain dan tidak menghormati mereka. Lalu saya menghadapinya dengan mengenali hak-hak serta menghormati mereka secara wajar.
Keenam: Hasad (dengki) lalu saya menghadapinya dengan sifat berpada (qana’ah) dan reda terhadap kurniaan Allah SWT kepada makhluk-Nya.
Ketujuh: Riak dan sukakan pujian orang. Lalu saya menghadapinya dengan ikhlas.
Kelapan: Bakhil (kedekut), lalu saya menghadapinya dengan menyedari bahawa apa yang ada pada makhluk akan binasa manakala yang kekal itu berada di sisi Allah SWT.
Kesembilan: Takbur (membesar diri), lalu saya menghadapinya dengan rasa tawaduk.
Kesepuluh: Tamak haloba, lalu saya menghadapinya dengan mempercayai ganjaran yang disediakan di sisi Allah SWT dan tidak tamak terhadap apa yang ada di sisi manusia.
KOMEN