Kepimpinan bukan satu keistimewaan, tetapi ia adalah tanggungjawab. Ia juga bukan satu kemudahan, tetapi satu pengorbanan. Bukan juga sesuatu yang hanya untuk bersenang-lenang, tetapi adalah kerja keras. Kepimpinan juga bukan ruang dan peluang untuk bertindak dengan sesuka hati, tetapi wadah untuk memberikan perkhidmatan dengan penuh kesabaran. Seterusnya, kepimpinan adalah contoh dalam berbuat sesuatu dan mempelopori sesuatu tindakan.
Para pakar yang mengkaji al-Quran dan al-Hadis telah menetapkan empat sifat yang harus dipenuhi oleh para nabi, yang pada hakikatnya adalah pemimpin kepada umatnya. Pertama, Al-Shidq yang bermaksud kebenaran dan kesungguhan dalam sikap, ucapan serta berjuang melaksanakan tugas. Sifat yang kedua ialah Al-Amanah atau kepercayaan, iaitu memelihara sebaik-baiknya tentang apa yang telah dipertanggungjawabkan, baik daripada Tuhan mahu pun orang yang dipimpin sehingga mewujudkan keharmonian dikalangan semua pihak. Seterusnya, Al-Fathanah yang bermaksud kecerdasan yang melahirkan kemampuan untuk berhadapan dengan pelbagai persoalan dan permasalahan. Dan yang keempat At-Tabligh, iaitu menyampaikan sesuatu dengan penuh kejujuran dan bertanggungjawab. Hal yang demikian itu diistilahkan sebagai sifat ‘keterbukaan’.
Contoh terbaik dalam memperihalkan aspek kepimpinan ini ialah menerusi cara yang telah diaplikasi oleh Rasulullah SAW. Kepimpinan Rasulullah SAW berakar umbi dalam jiwa masyarakat. Baginda SAW sayang dan kasih kepada umatnya, bukan hanya di bibir, tetapi dipamerkan pada perbuatan serta dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari. Oleh hal yang demikian itu, umat Islam perlu menyintai Rasulullah SAW dengan mematuhi segenap ajaran yang disampaikan oleh Baginda s.a.w dan sanggup pula berkorban dalam melaksana dan mempertahankan agama yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah telah menceritakan tentang peristiwa Nabi Ibrahim diangkat menjadi pemimpin. Allah berfirman yang bermaksud: “Aku (Allah) akan mengangkat engkau sebagai pemimpin”. Mendengar hal tersebut, Nabi Ibrahim a.s telah bermohon kepada Allah agar penghormatan yang diberikan kepadanya dikurniakan juga kepada anak cucu baginda Nabi Ibrahim a.s. Bagaimanapun, Allah s.wt telah menggariskan satu syarat iaitu, “ Perjanjian – Ku ini tidak akan dikurniakan kepada orang-orang yang berbuat aniaya.” Ini bermakna, walaupun kekuasaan itu dapat diwariskan kepada anak cucu oleh orang tua, ia hanya dibenarkan berdasarkan sifat-sifat terpuji, iaitu hakikatnya adalah keadilan.
Terdapat dua perkara asas yang sewajarnya difahami apabila membicarakan ayat di atas. Pertama, kepimpinan menurut pandangan al-Quran bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah s.w.t. Dalam erti kata yang lain, ia merupakan satu amanah daripada Allah s.w.t yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin. Dalam satu peristiwa, seorang sahabat Nabi s.a.w bernama Abu Dzar telah meminta kebenaran untuk mentadbir sebuah jabatan. Nabi s.a.w bersabda: “Kamu lemah, dan ini adalah amanah sekaligus dapat menjadi sebab kenistaan dan penyesalan di Hari Kemudian (apabila disia-siakan).” Dan perkara kedua yang dinyatakan di dalam ayat di atas, kepimpinan itu sifatnya adalah keadilan kerana ia berlawanan dengan penganiayaan sebagaimana yang disyaratkan dalam ayat tersebut.
Hal ini perlu ditekankan kerana salah satu syarat utama sebagai seorang pemimpin adalah mesti dari kalangan mereka yang benar-benar layak dengan memiliki kelebihan dari sudut keilmuan, fizikal, keterampilan, kewibawaan, berakhlak mulia, berkemahiran dalam berkomunikasi, bakat dan ketakwaan kepada Ilahi. Justeru, rasulullah s.a.w menolak permintaan Abu Dzar kerana Baginda s.a.w mendapati beliau lemah dan tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab tersebut meskipun sebahagian ciri-ciri tersebut ada di dalam diri Abu Dzar. Justeru, kelayakan untuk memegang sesuatu jawatan itu mestilah diutamakan kerana sekiranya diabaikan, akan membawa kehancuran kepada bangsa, agama, dan negara.
Keadilan harus dirasai kepada semua pihak tidak kira sama ada kawan atau lawan. Nabi Ibrahim a.s pernah berdoa kepada Allah yang bermaksud, “Ya Tuhan-Ku, jadikanlah negeri ini negeri yang aman sentosa, dan anugerahkanlah rezeki dari buah-buahan untuk penduduknya yang beriman di antara mereka kepada Allah pada Hari Kemudian.” Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kepada orang-orang kafir pun Aku beri kesenangan sementara (di dunia) , kemudian (di akhirat) Aku paksa ia menjalani siksa neraka dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.” (Surah Al-Baqarah:126) Jelaslah bahawa keadilan dituntut oleh Allah s.w.t untuk diterapkan bukan hanya kepada kaum Mukmin( golongan sendiri) tetapi juga kepada pihak lain.
Oleh hal yang demikian itu, sama-samalah kita merenung diri, dengan apa yang ada pada diri daripada anugerah-Nya, apakah kita ini benar-benar manusia istimewa? – ABABIL
KOMEN