DALAM artikel lepas saya menulis mengenai wabak penyakit paling serius penyebab kehancuran umat Islam masa kini iaitu fitnah.
Rasulullah SAW sendiri pun pernah terkesan dengan peristiwa fitnah paling besar yang melanda isteri tercinta Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah ra yang dikenali sejarah dengan istilah ‘Hadis Ifki’ atau pembohongan besar yang tersebar seolah-olah beliau berlaku curang pada Nabi SAW.
Pernah Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abu Talib dan Usamah bin Zaid untuk bincang mengenai (buruk baik jika Baginda) ceraikan isteri Baginda lantaran lambatnya turun wahyu ALLAH dalam masalah melanda. Kedua-dua sahabat Nabi SAW ini mengambil sikap positif dan tidak terbawa-bawa dengan kisah fitnah yang melanda.
Umpamanya Usamah bin Zaid dengan tegas menganggap keluarga Baginda bebas daripada tuduhan tersebut. Beliau berkata: “Kami tdak mengetahui tentang keluargamu wahai Rasulullah melainkan yang baik sahaja”.
Demikian hebat fitnah zaman Nabi SAW yang akhirnya reda apabila ALLAH turunkan wahyu menjernihkan suasana, sekali gus bersihkan nama baik Aisyah ra.
Namun jika diperhatikan fitnah zaman dulu mengambil masa untuk tersebar. Malah wahana menyebarkan fitnah juga terbatas kepada percakapan mulut ke mulut. Tetapi kehebatan media sosial sekarang, maklumat dan fitnah hanya di hujung jari, tidak memerlukan masa lama untuk tersebar luas hanya tekan butang mahupun papan kekunci.
Kecanggihan pelbagai peralatan IT seperti telefon pintar dengan dibantu perisian masa kini seperti whatsapp, facebook, twitter, flicker, instagram, blog, laman sesawang dan banyak lagi turut membantu satu-satu maklumat sampai dengan hanya menggunakan jari-jemari tanpa memerlukan kudrat, wang ringgit mahupun masa yang panjang.
Mungkin benarlah telahan Nabi SAW, umat kini berada pada zaman fitnah yang besar sehingga diwasiatkan berkali-kali dalam banyak hadis kepertuan untuk umat tetap tegar berpegang prinsip al-Quran dan as-Sunnah.
Salah satu prinsip penting yang dipasakkan dalam al-Quran dalam mendepani zaman fitnah seperti hari ini ialah tabayyun.
Tabayyun ialah prinsip dan akhlak orang beriman yang merujuk kepada amalan meneliti dan menyelidiki sesuatu berita, tidak tergesa-gesa dalam membuat konklusi sebelum dipastikan keabsahan dan kesahihan berita tersebut.
Prinsip ini dipertegaskan ALLAH SWT dalam al-Quran melalui Surah Al-Hujurat, ayat 6: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti (tabayyun), agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan menyesal atas perbuatanmu itu.”
Ayat ini merupakan perintah kepada setiap yang mengaku beriman agar sentiasa menyelidiki sesuatu berita yang datang agar tidak menimbulkan dosa sehingga menatijahkan penyesalan akibat keputusan tidak adil atau merugikan pihak lain.
Tabayyun juga membawa pengertian agar umat sentiasa teliti dan berhati-hati membuat kesimpulan pada sesuatu perkara.
Imam Asy Syaukani rahimahullah berkata, “Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Fathul Qadir, 5:65).
Ia seiring dengan disiplin dan tradisi keilmuan Islam yang memerlukan seorang cendekiawan dan ulama memperhalusi satu-satu permasalahan ilmu dengan metodologi kajian yang objektif, sistematik, relevan dan sah.
Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun adalah mengelak daripada dengar atau membaca berita yang membahas aib dan bahayakan pemikiran.
Sebab itulah dalam Surah Al-Hujurat ayat 12, prinsip tabayyun diseiringkan dengan ayat yang menuntut umat bersangka baik :
“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa”.
Kegagalan mengamalkan tabayyun akan menatijahkan musibah kepada diri dan ummah sehingga membawa penyesalan diri di dunia dan akhirat.
Justeru, umat perlu lebih berhati-hati dan amalkan prinsip tabayyun sebelum sebar atau berkongsi satu-satu berita.
KOMEN