Home » Langit Terbuka » Kenyataan mengelirukan, Siti Nurhaliza bakal ambil tindakan undang-undang

Kenyataan mengelirukan, Siti Nurhaliza bakal ambil tindakan undang-undang

Laman blog yang mengatakan Siti berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana memberi kenyataan palsu dengan tujuan untuk meraih keuntungan jutaan ringgit menerusi pelaburan The Bitcoin Code.

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas sebuah blog yang didakwa cuba menjatuhkan maruahnya dengan menyebarkan berita palsu.

Penyanyi berusia 39 tahun itu turut meluahkan rasa kesal selain menafikan individu yang dinyatakan tersebut adalah dirinya meskipun nama dalam berita berkenaan dieja sebagai Sita Nurhaliza dan bukan Siti Nurhaliza.

Menerusi laman blog, blogspotcentral.com mengatakan Siti berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana memberi kenyataan palsu dengan tujuan untuk meraih keuntungan jutaan ringgit menerusi pelaburan The Bitcoin Code.

“Berita palsu ini terdapat di dalam sebuah blog dengan tajuk lain tetapi apabila kita klik pautan yang berkenaan, akan keluar berita yang memaparkan wajah saya dengan ejaan nama Sita Nurhaliza.

“Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya berita tersebut (jika dirujuk pada saya). Saya tidak ada kena mengena dengan berita palsu tersebut,” jelas penyanyi lagu Comel Pipi Merah.

Dalam pada itu, ibu kepada seorang cahaya mata tersebut juga tidak pasti mengapa laman blog berkenaan menggunakan wajah dan nama Nurhaliza kerana ia telah mengundang kekeliruan dan menimbulkan salah faham dalam kalangan khalayak.

“Saya berharap agar pihak yang membuat berita palsu ini segera memadamkan wajah dan nama saya seperti mana yang tertera dalam petikan blog tersebut.

“Jika perkara ini berlanjutan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya yang diperuntukkan di bawah undang-undang berkaitan,” ujar Siti. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *