Tindakan Israel menceroboh hingga mencederakan warga Palestin yang sedang beribadat pada hari hari terakhir Ramadan tahun ini menunjukkan sikap pengecut sebenar mereka kerana terang terangan para jemaah di Masjidil Aqsa ketika itu bukannya ancaman keselamatan untuk mereka.
Israel tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyerang warga Palestin yang sedang beribadat ketika itu, malah ia sebenarnya boleh dianggap sebagai sekadar satu provokasi semata mata ke atas Palestin.
Justeru, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengutuk keras tindakan tersebut yang jelas salah dari segi undang undang serta mencabul hak warga Palestin termasuk wanita dan kanak kanak untuk beribadat.
YADIM juga mengajak semua pihak untuk sama mendesak dan menyeru masyarakat dunia untuk bertindak segera dan bersatu menentang kezaliman yang dilakukan ini.
Pada masa yang sama, YADIM juga menyokong kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berkata, perbuatan zalim Israel itu bukan sahaja perlu dikecam sekeras-kerasnya malah rejim Israel mesti dipertanggungjawabkan ke atas pelanggaran hak asasi manusia serta undang-undang antarabangsa.
YADIM menyeru orang ramai, khususnya masyarakat Muslim di negara ini untuk sama sama mendoakan keselamatan saudara seagama kita di Palestin agar mereka sentiasa terpelihara daripada tindakan keji rejim zionis Israel.
KOMEN