Home » Kenyataan Media » KENYATAAN MEDIA ISU ARAK BERJENAMA TIMAH

KENYATAAN MEDIA ISU ARAK BERJENAMA TIMAH

YADIM ingin menyatakan  pendirian sangat tidak bersetuju atau bantahan terhadap penjualan arak dengan jenama Timah seperti yang diperkatakan ketika ini, kerana ia jelas haram di sisi Islam, selain membawa keburukan terhadap masyarakat.

 

Malah, YADIM juga berpandangan, penggunaan jenama arak dengan perkataan berbahasa Melayu seperti Timah itu sendiri merupakan satu strategi penjenamaan yang  bersifat provokatif terhadap masyarakat majoriti Melayu Muslim di Malaysia meskipun telah dijelaskan oleh syarikat pengeluar bahawa perkataan Timah yang digunakan tidak merujuk kepada nama wanita sebaliknya merujuk kepada terjemahan Bahasa Melayu kepada perkataan “Tin”.

 

Tidak kurang provokatifnya juga tindakan Winepark Corporation yang melancarkan jenama arak ini secara rasmi pada 7 Oktober yang lalu semasa umat Islam berada dalam mood menyambut peristiwa kelahiran Junjungan Mulia Nabi SAW.

 

Meskipun ada sebahagian agama membenarkan arak, namun ia tidak sewajarnya dipromosi secara terbuka dan meluas kepada seluruh masyarakat yang majoritinya adalah dari kalangan muslim. Mereka boleh sahaja menghasil dan mengedar arak secara terhad kepada golongan yang dibenarkan meminum arak dengan pilihan jenama yang banyak tanpa menyentuh sensitiviti umat Islam.

 

YADIM juga kesal kerana biarpun arak berjenama ini telah didaftarkan cap dagangan sejak 2019 dan menerima anugerah antarabangsa sejak tahun 2020 lagi, polemik yang timbul ini seolah mengulangi kembali kontroversi terhadap penggunaan jenama yang biasa dengan masyarakat Melayu Muslim seperti produk makanan yang berasaskan babi seperti Burger P Ramly (Pork) dan Restoran Naughty Nuri yang hangat sekitar tahun 2016.

 

Tindakan-tindakan ini amat tidak sensitif terhadap sentimen masyarakat Muslim di Malaysia dan memberikan imej yang buruk kepada pihak kerajaan. Tindakan yang berterusan memprovokasi sentimen Umat Islam harus segera dihentikan kerana ini pastinya menggugat keharmonian umat Islam yang menjadi teras kestabilan negara ini.

 

Dalam hal ini, YADIM amat bersetuju dengan tindakan yang diambil oleh YB Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang telah melaporkan kepada Kementerian-Kementerian yang mempunyai bidang kuasa terhadap penjualan arak di Malaysia untuk mengambil tindakan sewajarnya

 

Selain dari itu YADIM sebagai sebuah Yayasan milik kerajaan akan menggunakan saluran yang ada bagi menyatakan pendirian  kepada pihak kerajaan yang perlu  mengambil langkah yang lebih proaktif terhadap industri yang telah lama bertapak di Malaysia ini.

 

Sebagai sebuah Badan Dakwah, YADIM akan menggunakan pendekatan memberi kesedaran terhadap isu ini selain akan menggerakkan rakan-rakan NGO bagi menyatakan penolakan terhadap arak yang telah dianggap sebagai najis di dalam Islam selain dianggap sebagai sumber kemudaratan masyarakat secara umumnya.

 

 

18 OKTOBER 2021

DIKELUARKAN OLEH BAHAGIAN MEDIA DAN TEKLNOLOGI DAKWAH YADIM

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *