KUALA LUMPUR – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil memperjelaskan berkaitan kekecohan di laman media sosial mengenai individu yang mengeluarkan kenyataan bahawa perlakuan maksiat atau jahat berlaku dengan izin Allah SWT.
Menerusi laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan menisbah kejahatan, keburukan serta maksiat yang dilakukan kepada Allah SWT merupakan perbuatan yang tidak beradab terhadap-Nya.
Jelas kenyataan itu lagi, walaupun semua perkara termasuk keburukan dan kejahatan dicipta oleh-Nya, namun sebagai adab terhadap Allah SWT umat manusia tidak boleh menisbahkan kepada-Nya kecuali perkara-perkara yang baik sahaja.
“Ucapan ‘saya melakukan maksiat ini dengan izin Allah SWT’ tidak melazimi bahawa Allah redha terhadap perbuatan maksiat tersebut.
“Ini kerana kehendak (iradah) Allah SWT tidak melazimi keredhaan-Nya dan sesiapa yang melakukan maksiat dengan pilihan dan kehendaknya sendiri, maka dia mendapat kemurkaan Allah SWT,” dalam kenyataan tersebut.
Mengulas lanjut, ucapan sebegini tidak sepatutnya disebut malah perlu dielakkan, apatahlagi jika diniatkan untuk menghalalkan perbuatan maksiat dilakukan oleh seseorang.
Terdahulu, tular sebuah video mengenai individu yang menyatakan setiap perlakuan maksiat yang dilakukan manusia adalah dengan izin Allah SWT.—AlHijrah Online
KOMEN