Home » Langit Terbuka » Kendalikan madrasah tanpa kebenaran, JHEAINS tahan dua lelaki dipercayai ada kaitan GISBH

Kendalikan madrasah tanpa kebenaran, JHEAINS tahan dua lelaki dipercayai ada kaitan GISBH

KEADAAN sebuah madrasah di Kuala Pilah yang dipercayai ada kaitan dengan GISBH diserbu JHEAINS di Kuala Pilah kerana didapati beroperasi tanpa kebenaran. - Foto JHEAINS

SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sembilan (JHEAINS) menahan dua individu disyaki selepas mereka selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah, malam tadi.

Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah, berkata penahanan kedua-dua orang disyaki ini adalah untuk siasatan berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran di Beting, Kuala Pilah.

“Ketika soal siasat, kedua-dua individu ini didapati cuba menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah pegangan Al-Arqam yang telah difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti.

“Sehubungan itu, JHEAINS telah membuat permohonan bon jaminan di Mahkamah Rendah Syariah Sendayan hari ini bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan dan memastikan mereka hadir pada tarikh sebutan semula kes iaitu pada 12 November,” katanya dalam kenyataan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 22 Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Negeri Sembilan) 1996 dan Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2019).

“Hakim Syarie Nurul Akmar Mohamad Hilmi membenarkan kedua-dua individu dilepaskan dengan jaminan RM2,000 seorang dengan dua penjamin yang bermastautin di Negeri Sembilan,” katanya.

Pada 12 September lalu, media melaporkan sebuah madrasah di Kuala Pilah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) diserbu pihak berkuasa kerana didapati beroperasi tanpa kebenaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri mengesyaki terdapat antara tiga dan empat institusi kebajikan di negeri itu yang mempunyai kaitan dengan GISBH.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Mufti Negeri Sembilan berhubung hukum pernikahan membabitkan ahli dan pengikut GISBH.

Dakwaan yang tersebar di laman sosial mengenai nikah satu pusingan Aurad Muhammadiah sebagai mas kahwin, perlu siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *