Tengku Razaleigh Hamzah bukanlah orang pertama yang mengkritik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai tidak berperlembagaan. Tiga tahun lalu (2015), Sekumpulan Bekas Pegawai Tinggi Kerajaan atau dikenali dengan singkatan G25 membuat kenyataan yang sama dan mendesak JAKIM dimansuhkan.
Desakan tersebut bagaimanapun ditentang oleh pelbagai pihak dan dilihat sebagai tindakan terdesak kumpulan liberalisme agama yang mahu menjadikan Islam sebagai amalan peribadi setiap penganut dan tidak perlu dicampuradukkan dengan pengurusan pentadbiran negara.
Bagi mereka, persoalan mengenai agama adalah hak mutlak peribadi seseorang dan negara tidak wajib mengambil peranan untuk menguruskannya kerana hak beragama adalah sebahagian daripada prinsip kebebasan dan hak asasi manusia sejagat.
Dakwaan bahawa penubuhan JAKIM sebagai tidak berperlembagaan mempunyai kaitannya dengan pemahaman segelintir masyarakat Islam mengenai doktrin kebebasan dan hak asasi manusia yang berkembang dalam tradisi pemikiran masyarakat barat. Akibat terkongkong dalam keputusan gereja, masyarakat Eropah berada dalam kebodohan ilmu yang parah sehingga membangkitkan rasa mual terhadap kepercayaan beragama.
Ia berbeza dengan peradaban Islam yang muncul kemudiannya. Islam mementingkan masyarakat berilmu kerana dengan ilmu Islam dapat membebaskan kehidupan manusia dengan pelbagai kejahilan dan psikologi ketaksuban terhadap keupayaan manusia kerana Allah itu Maha Besar dan Maha Perkasa.
Berasaskan sejarah peradaban Islam, setiap penganutnya dapat membebaskan diri daripada belenggu kesesatan dan dunia mistik yang amat dipercayai oleh masyarakat barat, bahawa seseorang yang gagah perkasa kerana ia memiliki kuasa luar biasa walaupun pada hakikatnya ia tidak sehebat kuasa sebenar yang dimiliki oleh Allah SWT.
Dunia rasional barat mengandaikan bahawa jika agama menjadi urusan negara, maka seluruh masyarakatnya tidak akan beroleh keupayaan untuk menguasai keperluan-keperluan hidup secara rasional, kerana setiap apa yang hendak dilakukan perlukan perimbangan daripada agama. Agama dianggap sebagai faktor penghalang dan belenggu kepada kemajuan.
Asas sebegini turut digunakan oleh penentang yang mempersoalkan peranan JAKIM dalam meningkat, membangun dan menyelaraskan aktiviti berkaitan dengan Islam di Malaysia. Pada suatu kesimpulan, kumpulan G25 pernah mempersoalkan pembiayaan yang diperoleh oleh JAKIM daripada kerajaan dan bercadang untuk mengauditkannya bagi memastikan ‘tidak melanggar batas-batas peribadi hidup warga Muslim di negara ini.”
Ketika pakatan pembangkang memperoleh sedikit kemenangan politik, sebuah parti yang membentuk kerajaan campuran di Selangor pernah mengkritik peranan JAKIM dalam menyelaras aktiviti Islam dan ia dianggap sebagai satu bentuk diskriminasi kerajaan pusat terhadap pengembangan agama-agama lain yang dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia.
Mereka bukan sahaja mempertikaikan peruntukan yang diterima oleh JAKIM bahkan menganggap apa yang dilaksanakan oleh JAKIM adalah bertentangan dengan semangat Perlembagaan kerana institusi agama selain daripada Islam tidak menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan walhal bukan Islam juga membayar cukai kepada kerajaan.
Tidak hairanlah pada suatu ketika, reaksi balas sebuah lagi parti pembangkang mengeluarkan kenyataan untuk mempertimbangkan wang kutipan zakat daripada orang Islam diagihkan sebahagiannya kepada bukan Islam.
Senario sedemikian menampakkan percubaan untuk ‘membunuh institusi Islam semakin berkembang di Malaysia’ ekoran kesanggupan segelintir umat Islam sendiri untuk mempertikaikan peranan institusi Islam, sama ada mempertikaikan mengenai penubuhannya ataupun aktiviti yang dilaksanakan bagi meningkatkan pemahaman dan pelaksanaan syariat Islam,
JAKIM turut dituduh menggalakkan nilai-nilai agama yang konservatif terutama apabila tidak menerima desakan agar budaya LBGT (lesbian, biseksual, gay dan transgender) diiktiraf sebagai budaya kehidupan moden dan pengamalnya dibenarkan berkahwin ataupun hidup bersekedudukan.
Usaha JAKIM untuk mencegah amalan songsang bukanlah sesuatu yang tidak berasas kerana al-Qur’an menegaskan antara dosa yang tidak seharusnya dilakukan oleh setiap muslim ialah melakukan hubungan seks tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Ikatan perkahwinan yang sah dari perspektif Islam ialah antara lelaki dan wanita, bukannya sesama jenis.
Surah al-Mukminum misalnya menjelaskan : Dan orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba mereka, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari selain itu, maka itulah orang yang melampaui batas.” (ayat 5-7).
Maknanya, apabila JAKIM mengeluarkan kenyataan tegas mengenai budaya itu sebagai ‘budaya songsang yang tidak beretika dan bermoral pada pandangan Allah SWT’ ia bukanlah bersifat konservatif, ia adalah larangan mutlak yang telah ditentukan oleh prinsip Islam. Mereka yang mempersoalkan larangan tersebut adalah kumpulan yang mempersendakan prinsip Islam.
Tindakan yang wajar wajib dilakukan ke atasa mereka yang mempersendakan Islam berdasarkan prinsip Perlembagaan. Perlembagaan Malaysia meletakkan “Islam sebagai agama rasmi Persekutuan” sebagaimana termaktub dalam Perkara 3 (1) “ manakala penubuhan JAKIM adalah selaras dengan 3(5) iaitu “Parlimen melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.”
Berdasarkan peruntukan tersebut, JAKIM yang merupakan sebuah jabatan yang berfungsi : (1) merancang pembangunan hal ehwal kemajuan Islam, (2) merangka dasar pembangunan hal ehwal Islam dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam, (3) membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan yang diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran sedia ada dari masa ke semasa dalam usaha menyelesaikan masalah umat Islam, (4) melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam dalam pengurusan negara, (5) menyelaras mekanisme penguatkuasaan undang-undang serta peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh negara; (6) membuat penilaian program hal ehwal Islam yang dilaksanakan di negara ini, (7) bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan maklumat mengenai hal ehwal Islam, dan (8) melaksanakan usaha pembangunan ummah melalui kerjasama peringkat serantau dan antarabangsa.
Fungsi JAKIM itu adalah selaras dengan budi bicara Majlis Raja-Raja Melayu (Perkara 389(6)(d) Perlembagaan Persekutuan: “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.” Atas kepentingan itulah JAKIM ditubuhkan di peringkat pusat walaupun Perlembagaan menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa tindakan mengenai agama Islam. Semua perkara yang bersangkutan dengan Islam adalah hak eksklusif bidang kuasa negeri (Jadual Kesembilan Senarai II, Butiran I), kecuali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dibawah Yang di Pertuan Agong.
Ketua agama bagi negeri-negeri ialah Sultan atau Raja, manakala bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai Sultan atau Raja, Yang di Pertuan Agong adalah Ketua Agama bagi negeri-negeri tersebut. Ini bermakna, proses penubuhan JAKIM bukanlah sesuatu yang boleh dianggap tidak berperlembagaan, kerana sejarahnya telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu pada tahun 1986.
JAKIM bermula sebagai urusetia kepada Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (1968) yang kemudiannya dikembangkan sebagai Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri (1974). Selaras dengan perkembangan dan keperluan masyarakat Islam semasa, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS ) ini telah disusun semula.
Cadangan penyusunan semula kemudiannya dipersetujui oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober 1996, dengan perakuan supaya BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri dinaikkan taraf menjadi sebuah Jabatan berkuatkuasa 1 Januari 1997 dengan nama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dan, tentunya penambahbaikan itu telahpun dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
Walaupun masih kedengaran kritik bahawa penubuhan JAKIM bagaikan bertindih dengan fungsi negeri, ia hanyalah suatu perspektif dari segi pelaksanaan peraturan-peraturan tetapi bukan daripada penekanan asasnya. JAKIM berusaha untuk mengharmonikan setiap peraturan yang berkuatkuasa ke atas negeri-negeri, tetapi dalam beberapa perkara, negeri tidak mempunyai kuasa untuk menyelaraskan beberapa peraturan yang berkaitan pengamalan Islam yang diluluskan oleh Parlimen. Aataranya, Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Akta Bank Islam 1983 (Akta 276), Akta Percetakan Teks Al-Qur’an 1986 (Akta 326), dan penyelarasan isu pelbagai Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan, JAwatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak/Sivil, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, dan sebagainya.
Hakikatnya, JAKIM adalah sebuah jabatan kerajaan yang absah dan amat diperlukan untuk menjaga, mengembang dan menyelaras aktiviti berkaitan umat Islam di Malaysia. Tentunya, sebagai sebuah jabatan kerajaan yang sah, kerajaan terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk membolehkan JAKIM beroperasi dan melaksanakan aktiviti penyelarasan hal ehwal Islam, dan setiap perbelanjaan yang digunakan adalah menurut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan, bukan boleh dibelanjakan sewenang-wenangnya.
Usaha untuk ‘memansuhkan JAKIM’ boleh dianggap sebagai tindakan keterlaluan jika ia lahir dalam kalangan umat Islam sendiri. Seharusnya, setiap umat Islam berusaha mempertahankan kewujudan JAKIM, dan jika ada kelemahan dari aspek pelaksanaan aktivitinya, ia perlu ditegur dan diperbaiki, bukannya mendesak agar institusi tersebut dihapuskan.
Umat Islam di Malaysia tidak perlu bertindak membakar kelambu sekiranya nyamuk terus menggigit, sebaliknya, berusahalah membaiki kelambu itu agar ia tidak berjaya ditembusi oleh nyamuk-nyamuk yang dari bentuk fizikalnya kecil tapi mudaratnya adalah besar, boleh membunuh. Menghapuskan JAKIM boleh ‘membunuh Islam’ secara institusi dan ia bakal menjadi kacau sebagaimana masyarakat barat, agama adalah persoalan peribadi dan bukan masalah masyarakat, negara. Islam adalah agama Jemaah. ABABIL
KOMEN