KUALA LUMPUR 22 Dis – Susulan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel 7 Disember lalu, peristiwa ini telah membangkitkan kemarahan masyarakat dunia.
Bagaimanapun, hari ini, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan keputusan AS berhubung Baitulmaqdis itu sebagai tidak sah dan terbatal.
Namun Israel enggan menerima resolusi PBB yang mengisytiharkan pengiktirafan AS bahawa Baitulmaqdis adalah ibu negara tersebut sebagai terbatal dan tidak sah.
Tahukah anda fakta di sebalik Baitulmaqdis yang menjadikan ia penting bagi umat Islam?
Fakta mengenai Baitulmaqdis:
- Tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj
Berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 dari masa kenabian Nabi Muhammad SAW, bersamaan 622 Masihi, ketika baginda berumur 52 tahun, setahun sebelum peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah.
Perjalanan mengambil masa kira-kira satu malam di mana baginda kembali semula ke Mekah sebelum terbit fajar.
Baginda menunggang Buraq bersama Jibril dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin kini, sebelum diangkat dari bumi ke langit ke-7.
- Tempat ibadat umat Islam yang ketiga selepas Mekah dan Madinah
Arah kiblat umat Islam ketika itu ialah Baitulmaqdis. Arah kiblat kemudian ditukar ke Kaabah di Mekah selepas peristiwa Israk dan Mikraj sewaktu Nabi Muhammad SAW tinggal di Madinah.
- Lokasi terletaknya Masjid Al-Aqsa
Membawa maksud ‘Masjid Terjauh’, Masjid Al-Aqsa merupakan salah satu tempat suci agama Islam yang menjadi sebahagian daripada kompleks bangunan keagamaan di Kota Lama Baitulmaqdis.
Kompleks bangunan tersebut (bersama dengan bangunan Kubah Batu) dikenali oleh umat Islam sebagai Al Haram Al Sharif atau “tanah suci yang mulia” dan oleh orang Yahudi dan Kristian sebagai Kuil Suci.
- Tercetusnya Perang Salib Pertama
Pada tahun 1099 Masihi, tentera salib telah berjaya menakluk Baitulmaqdis, termasuk Masjid Al-Aqsa, ketika berlakunya Perang Salib Pertama dan menggunakannya sebagai istana kerajaan dan kandang kuda.
Bagaimanapun, fungsi Masjid itu dapat dikembalikan setelah pasukan Islam dipimpin Salahuddin Al-Ayyubi berjaya merebut kembali Baitulmaqdis melalui pengepungan pada tahun 1187 Masihi.
- Perubahan yang dilalui
Di bawah pentadbiran Khalifah Uthmaniyah yang memegang kuasa mulai 1517 Masihi, tidak banyak perubahan besar dilakukan ke atas Masjid Al-Aqsa, namun mereka melakukan penambahbaikan pada kawasan Al-Haram Al-Sharif secara keseluruhan.
Tiga buah kubah telah dibangunkan, termasuk kubah yang paling terkenal iaitu Kubah Nabi, yang dibina pada 1538 Masihi.
Pada tanggal 21 Ogos, 1969, terjadi kebakaran di dalam Masjid Al-Aqsa oleh puak ekstremis Yahudi yang didokong kuat oleh Kristian Zionis.
Kebakaran ini juga menyebabkan sebahagian bangunan Masjid musnah dan mimbar kuno Salahuddin Al-Ayyubi yang berusia lebih 800 tahun hancur – Astro Awani